KKM sahkan hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan

KKM sahkan hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan hanya satu kes kematian akibat stok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati, bagaimanapun kematian bayi berusia 19 bulan pula sebagaimana laporan media bukan disebabkan strok haba tetapi akibat kelesuan haba atau severe dehydration with underlying sepsis.

Menurut beliau, pemantauan yang dilakukan KKM sehingga hari ini mendapati terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan dengan tiga kes dilaporkan di negeri Sarawak, melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba.

“Dua kes lagi dilaporkan di negeri Kelantan, melibatkan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai kematian dua kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Balai, Bachok dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dari Kampung Kota, di sini, meninggal dunia semalam selepas dipercayai akibat strok haba.

Muhammad Radzi berkata, pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Jelasnya, gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual.

Beliau berkata, keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma.

Sehubungan itu, KKM mengingatkan orang ramai terutamanya bagi mereka yang menyambut perayaan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas sekarang ini untuk mengambil langkah-langkah pencegahan.

“Rancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara pukul 11 pagi hingga 4 petang serta banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

“Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan,” katanya.

Selain itu, katanya, golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi serta mengawasi gejala keletihan dalam kalangan golongan itu kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari.

Katanya, orang ramai dinasihatkan kerap mandi bagi menyejukkan badan serta mengelakkan memakai pakaian tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.

“Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas, hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

“Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas; gunakan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya