'Kita tak boleh paksa, biar Agong buat keputusan'

‘Kita tak boleh paksa, biar Agong buat keputusan’

AZALINA Othman Said melancarkan Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menyerahkan sepenuhnya isu permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pertimbangan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya juga tidak akan terlibat dalam urusan berkenaan.

“Kita (kerajaan) pun tidak boleh nak paksa-paksa (sesiapa), biarlah Seri Paduka Baginda sendiri yang buat keputusan atau kaji balik perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman sesawang rasmi Malaysia-SuluCase.gov.my, di sini hari ini.

Portal terbitan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri itu mendapat kerjasama Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi dan Digital dalam usaha kerajaan menangkis diayah pihak yang mengaku waris Sultan Sulu.

Baru-baru ini, beberapa pihak termasuk peguam mendakwa UMNO tidak boleh bertindak bagi pihak Najib untuk memfailkan permohonan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Mereka berhujah bahawa petisyen tersebut hanya boleh dilakukan oleh Najib sendiri atau ahli keluarga atau peguam yang dilantik bekas Perdana Menteri itu atau pihak penjara.

Walau bagaimanapun, UMNO berhak untuk memfailkan petisyen atau surat sokongan kepada Seri Paduka Baginda dalam usaha menyokong permohonan pembebasan Najib susulan langkah Majlis Kerja Tertinggi memohon pertimbangan Agong setelah menerima memorandum daripada semua 191 bahagian.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah didapati bersalah oleh pihak mahkamah atas penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kuasa pengampunan istimewa tersebut bukan pelik dan ia memang terletak di bawah peruntukan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri dan sekarang beliau (Najib) sudah tiada lagi apa-apa isu prosedur perundangan untuk perbicaraan kes tersebut,” jelas beliau lagi.

Ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Selayang yang beliau menghina mahkamah kerana mendedah siasatan kes Datuk Mohd. Nazlan Ghazali, beliau enggan mengulas, sebaliknya, menambah, isu berkenaan sudah pun dijelaskan menerusi kenyataan akhbar sebelum ini sebagai respons terhadap penyiasatan kes ke atas hakim berkenaan.

Ia ekoran surat beliau bertarikh 20 Mac 2023 yang mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengakui Mohd. Nazlan melanggar etika dalam perbicaraan Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya