Kes lain Najib masih dibicara, sukar beri pengampunan diraja

Kes lain Najib masih dibicara, sukar beri pengampunan diraja

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak mudah memberi pengampunan diraja kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan empat lagi pertuduhan ke atas beliau yang belum selesai dibicarakan di mahkamah.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, janggal jika pengampunan diberikan sedangkan Najib belum tahu nasibnya bagi kes-kes lain.

“Ada cabaran yang dihadapi Najib untuk mendapatkan pengampunan diraja kerana beliau masih ada kes dalam perbicaraan, malah ada juga kes yang belum dibicarakan.

“Apakah Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan melihat sesuai untuk berikan pengampunan? Berbeza dengan situasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau diberikan pengampunan dahulu.

“Najib masih ada beberapa kes sedangkan Anwar hanya ada satu kes. Anwar dipenjarakan dan dalam tempoh itu, terdapat syor untuk beliau mendapatkan pengampunan. Ia diteliti Lembaga Pengampunan terlebih dahulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Najib masih berdepan empat lagi kes di Mahkamah Tinggi dengan dua daripadanya dalam proses perbicaraan.

Kes itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB.

Najib juga berdepan dua kes yang belum dibicarakan iaitu pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Dalam pada itu, Prof. Dr. P. Sivamurugan dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan wajar mendapat keadilan sekiranya benar wujud kekhilafan daripada pihak berwajib.

“Sekarang ini soalnya, Najib perlu diberikan keadilan sama ada beliau telah diberikan keadilan sewajarnya. Jika benar wujud keretakan kod etika kehakiman, beliau wajar dilepaskan dahulu.

“Tidak adil meletakkan seorang dalam penjara tanpa beliau mendapat keadilan sepatutnya. Walaupun ada kes lain yang masih berterusan, adalah wajar untuk tidak menempatkan seseorang dalam penjara tanpa proses keadilan.

“Pertembungan pandangan dalam institusi kehakiman iaitu bila wujud kenyataan berbeza bagi pihak berwajib, ia boleh menjadi sandaran untuk menilai semula situasi Najib ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN