FOXBOROUGH: Kapten Perancis, Kylian Mbappe menegaskan skuad Les Bleus tidak boleh terlalu yakin dengan peluang menjulang Piala Dunia 2026 meskipun berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Maghribi 2-0 pada aksi suku akhir kejohanan.
Menurut Mbappe, Perancis sedar masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi dan hanya akan berpuas hati sekiranya berjaya merangkul kejuaraan.
“Saya tidak tahu sama ada kami boleh dikatakan sedang berada dalam satu misi. Mungkin itu istilah yang mudah digunakan.
“Apa yang kami sedar ialah kami hanya boleh berasa lega apabila berjaya memenangi Piala Dunia. Itulah matlamat kami,” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Gillette itu, Mbappe mensia-siakan peluang apabila sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Maghribi pada babak pertama.
Namun, penyerang Real Madrid itu menebus kesilapan tersebut apabila meledak gol pembukaan sebelum membantu Ousmane Dembele menjaringkan gol kedua yang mengesahkan kemenangan Perancis.
Mbappe kemudian dikeluarkan pada penghujung perlawanan selepas mengalami hentakan pada buku lali dan digantikan Jean-Philippe Mateta.
“Saya baik-baik sahaja. Saya hanya menerima sedikit hentakan pada buku lali. Ketika itu, Mateta lebih bersedia untuk mengharungi baki 15 minit permainan, jadi saya memberi laluan kepadanya,” katanya.
Dia dijangka cergas sepenuhnya untuk aksi separuh akhir apabila Perancis dijadualkan bertemu pemenang antara Sepanyol dan Belgium di Dallas pada 14 Julai.
Perancis memburu gelaran Piala Dunia ketiga selepas muncul juara pada edisi 1998 dan 2018, sebelum tewas kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada final 2022. – AFP










