Jika tidak diperlukan lagi, saya pilih jadi pensyarah - Danial Chuer - Utusan Malaysia

Jika tidak diperlukan lagi, saya pilih jadi pensyarah – Danial Chuer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lambat-laun, nama seseorang artis pasti akan perlahan-lahan merudum juga daripada industri hiburan. Sedar akan hakikat itu, penyanyi dan komposer, Danial Chuer memilih untuk bersedia awal dengan mengatur rancangan masa depannya dari sekarang.

Dia tidak mahu hanya bergantung harap pada nama dan populariti yang dikecapinya semata-mata. Atas sebab itu, pemenang tempat kedua program Big Stage musim keempat ini memilih bidang akademik sebagai pelan jangka panjangnya.

“Saya sentiasa melihat bakat, rezeki, dan peluang yang saya dapat sebelum ini sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. Saya juga merupakan seorang yang sentiasa meletakkan bidang akademik sebagai keutamaan sejak dahulu lagi.

“Saya perlu berfikir untuk jangka panjang sekiranya satu hari nanti perkhidmatan saya dalam industri tidak lagi diperlukan. Sekurang-kurangnya, saya mempunyai rancangan lain untuk kembali ke bidang pendidikan dan menjadi seorang pensyarah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Danial mengambil langkah ini kerana dia tahu industri muzik tanah air secara spesifiknya sentiasa berubah-ubah. Jadi, jika bakatnya tidak lagi diperlukan suatu hari nanti, dia sudah bersedia dengan pendidikan yang dimilikinya.

Sebab itulah, Danial atau nama sebenarnya Danial Chuer Hamasiah Samsudin sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang muzik di UiTM, Shah Alam. Pun begitu, perancangan terhadap karier nyanyiannya juga tidak ketinggalan untuk disusun rapi.

“Saya mahu mengajar generasi baharu tentang bagaimana industri muzik kita berjalan serta bagaimana muzik itu berfungsi. Namun, rancangan untuk meninggalkan industri hiburan secara total itu memang tidak pernah ada dalam hidup saya.

“Lagipun, kerjaya sebagai penyampai radio sekarang ini membuatkan saya bekerja sangat dekat dengan penggiat industri. Malah, kesibukan bertugas di stesen radio Era Sabah sejak tiga tahun lalu banyak mengajar saya tentang selok-belok dunia penyiaran.

“Buat masa sekarang, saya mahu fokus kepada perancangan jangka panjang dan tidak mahu keluarkan lagu sekadar melepaskan batuk di tangga. Saya mahu setiap karya yang dikeluarkan nanti mampu dipertandingkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Anak muda berusia 25 tahun yang berasal dari Sabah ini juga mengakui rasa terharu apabila kepakarannya dalam bidang vokal masih lagi ditagih oleh ramai penyanyi baharu. Ada juga dalam kalangan peserta pertandingan realiti Big Stage terbaharu meminta nasihat daripadanya.

“Saya rasa sangat dihargai apabila ramai yang masih memandang tinggi pada saya untuk belajar vokal. Untuk program Big Stage musim terbaharu ini, ada peserta yang menghantar mesej peribadi (DM) kepada saya secara peribadi.

“Mereka bertanya tentang bagaimana cara untuk bertahan dalam pertandingan tersebut dan meminta sedikit tunjuk ajar. Perkara positif sebegini membuatkan saya rasa tidak boleh meninggalkan kerjaya ini begitu sahaja kerana bakat saya masih dihargai.

“Mengenai hantaran individu yang mempersoalkan mengapa saya kurang popular walaupun banyak menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak kecil lagi, saya langsung tidak mengambil hati. Saya melihat kritikan tersebut dari sudut positif kerana setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Danial kini sedang sibuk menguruskan susunan vokal untuk penyanyi Aisyah Retno yang bakal bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) tidak lama lagi. Tugas ini disifatkannya sebagai satu tanggungjawab besar yang memerlukan komitmen serta fokus yang sangat tinggi.

“Persediaan untuk Aisyah sudah berjalan selama sebulan dan buat masa ini susunan muzik sepenuhnya sudah pun siap. Sekarang kami masih lagi dalam proses melakukan pecahan vokal untuk dia bagi malam kemuncak nanti.

“Memandangkan jadual persembahan Aisyah sangat padat, keutamaan saya sekarang adalah memastikan kesihatannya sentiasa terjaga dengan baik. Kita mahu dia berada dalam keadaan fizikal dan mental yang terbaik supaya boleh memberikan persembahan yang paling mantap.

“Untuk gubahan kali ini, kita mahu mengekalkan melodi asal lagu berkenaan namun penekanan lebih diberikan kepada aspek kestabilan vokalnya. Selain bekerja dengan Aisyah, saya juga kini sedang dalam proses menulis lagu baharu untuk anak Amyza Adnan iaitu Adrian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN