TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Khamis berkata, negaranya bersedia untuk menyambung semula kempen ketenteraan terhadap Iran jika perlu dan berikrar akan berbuat demikian dengan kekuatan yang lebih besar.
Kenyataan terbaharu itu dibuat ketika pertempuran baharu tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa perang berskala penuh akan kembali meletus selepas gencatan senjata pada April serta perjanjian AS-Iran pada Jun untuk menamatkan permusuhan.
“Tentera berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga untuk menyambung semula pertempuran bagi mendapatkan semula penguasaan ruang udara dan melancarkan serangan sekali lagi di Iran untuk menghapuskan ancaman, termasuk buat kali ketiga jika perlu,” kata Katz pada satu majlis ketenteraan.
“Jika kami perlu kembali (menyerang), kami akan kembali dengan kekuatan yang lebih besar,” tambahnya.
Berucap pada majlis yang sama, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, Iran telah menjadi semakin lemah selepas dua kempen ketenteraan yang dilancarkan Israel terhadap negara itu sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau mengaku konflik tersebut masih belum berakhir.
“Paksi Iran kini lebih lemah berbanding sebelum ini, manakala Israel lebih kuat berbanding sebelumnya..
“Kami telah membuktikan bahawa keupayaan Tentera Udara Israel mampu mencapai mana-mana lokasi dari Yemen hingga ke Iran. Namun, kami juga perlu mengaku bahawa kempen ini masih belum berakhir,” katanya.
Perang itu bermula pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan kempen serangan udara terhadap Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi republik Islam itu serta beberapa pegawai kanan lain.
Ia merupakan kempen ketenteraan kedua Israel terhadap Iran, selepas perang selama 12 hari yang berlaku pada Jun 2025. – AFP










