PETALING JAYA: Keberkesanan eksperimen Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam sektor beregu lelaki bakal terjawab di Terbuka Jepun pada minggu depan.
Satu gandingan baharu membuat penampilan sulung di Terbuka Jepun, sebelum baki tiga gandingan baharu akan meneruskan cabaran di Terbuka China.
Di Tokyo, Malaysia mempertaruhkan tiga beregu lelaki kebangsaan dengan tumpuan terarah kepada pasangan baharu Man Wei Chong-Soh Wooi Yik selain Aaron Tai-Kang Khai Xing, serta Arif Junaidi-Yap Roy King.
Percaturan itu diteruskan seminggu kemudian di Terbuka China apabila Aaron Chia pula digandingkan bersama Aaron Tai, Tee Kai Wun bergandingan dengan Yap Roy King, Arif dipasangkan dengan Khai Xing selain mengekalkan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dalam usaha mencari kombinasi terbaik menjelang baki musim ini.
Bekas jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman percaya setiap perubahan yang dilakukan mempunyai asas kukuh dan tidak seharusnya dinilai hanya selepas satu kejohanan.
“Kita semua kena tunggu keputusan dahulu, tetapi kalau kita tidak mencuba, macam mana kita hendak tahu sama ada pasangan itu menjadi ataupun tidak. Saya sendiri melakukan perkara yang sama di Singapura kerana dalam keadaan persaingan sekarang, jurulatih perlu berani melakukan sesuatu yang berbeza,” katanya.
Paulus yang kini mengendalikan skuad beregu Singapura berkata, beliau sendiri sedang melakukan eksperimen terhadap pemainnya menjelang Terbuka Taiwan dan Korea Masters selepas gagal melayakkan beberapa pasangan ke Terbuka Jepun.
“Kita cuba pecahkan pasangan juga. Mereka asalnya didaftarkan untuk Jepun tetapi tidak layak, jadi kami cuba kombinasi lain di Terbuka Taiwan dan Korea Masters. Semua ini sebahagian daripada proses mencari pasangan terbaik,” katanya.
Menurutnya, kelebihan Malaysia memiliki ramai pemain berkualiti memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih untuk membentuk kombinasi yang berpotensi berjaya di pentas antarabangsa.
“Kalau banyak pemain memang senang untuk kita mencuba pelbagai kombinasi. Tetapi bukan sekadar kemampuan individu, kita juga perlu melihat sama ada corak permainan mereka sesuai serta mempunyai karakter dan keserasian yang baik,” katanya.
Paulus sendiri pernah melakukan percaturan serupa ketika membimbing Malaysia apabila menggandingkan Aaron Chia bersama Teo Ee Yi dalam aksi berpasukan Piala Sudirman 2019, yang akhirnya membantu skuad negara menewaskan India, sekali gus membuktikan perubahan berani mampu menghasilkan impak positif.
Dengan Terbuka Jepun membuka tirai jelajah Asia minggu depan sebelum disusuli Terbuka China bertaraf Super 1000, kedua-dua kejohanan itu dijangka menjadi kayu ukur pertama sama ada eksperimen BAM benar-benar mampu melahirkan kombinasi baharu yang berdaya saing menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-UTUSAN










