KOTA KINABALU: Sekiranya kerajaan negeri tidak mahu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, Parti Warisan (Warisan) akan membentangkan usul persendirian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, selaku Ketua Pembangkang DUN Sabah, beliau telah menyediakan usul persendirian berkaitan undang-undang Anti Lompat Parti.
Beliau berkata, usul itu akan dihantar ke DUN untuk membolehkan ia dibentang dan dibahaskan pada persidangan DUN akan datang.
“Seperti saya telah nyatakan sebelum ini undang-undang Anti Lompat ini kena dibawa ke DUN. Sidang Dewan akan datang, saya telah sedia satu private bill (usul persendirian) Anti Lompat Parti dan saya akan hantar kepada DUN untuk dibentangkan.
“Sekiranya kerajaan negeri tidak mahu bentang maka, saya akan bentang sebab perkara ini dibolehkan dalam perundangan negeri Sabah.
“Pembentangan RUU itu perlu diselarikan dengan Akta Anti Lompat Parti di peringkat pusat bagi mengelak berlaku ketidakstabilan politik di negara ini,” katanya dalam majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Likas baru-baru ini.
Ahli Parlimen Semporna turut menafikan dakwaan sokongan akar umbi terhadap Warisan semakin berkurang. Tindakan sebahagian pemimpin Warisan keluar parti tidak akan melemahkan sokongan terhadap parti di peringkat bahagian.
Beliau berkata, tidak bermakna pemimpin di peringkat bahagian keluar maka, Warisan akan gagal mempertahankan kerusi-kerusi tersebut. Pihaknya akan berusaha memastikan kerusi yang dahulunya dimenangi di bawah tiket Warisan akan kekal milik parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, ketika ini terlalu banyak parti tempatan di Sabah seperti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) namun, bukan sentimen parti tempatan yang penting tapi, perjuangan parti tersebut jauh lebih penting.
“Apa ertinya parti tempatan jika asyik melompat dari satu parti ke parti yang lain demi mengejar jawatan seperti mahu jadi calon, jadi ketua bahagian atau presiden. Tak nak cakap panjang sebab ini bulan puasa, nanti berdosa. Saya tidak tuduh siapa-siapa tapi ini imbangannya.
“Apa pun saya yakin, kita serahkan kuasa kepada rakyat di negeri ini untuk memilih wakil rakyat yang mereka fikirkan boleh mengatasi masalah mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie mendesak kerajaan negeri untuk menyelesaikan segera masalah kemudahan infrastruktur asas di Sabah yang menjadi kebimbangan rakyat.
“Kalau dengar kerajaan banyak duit tapi di bawah masih tidak terasa duitnya ke mana. Sepatutnya apabila banyak hasil, kerajaan patut fokus atasi masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah diserahkan kepada Sabah tapi, masalah gangguan elektrik masih berlaku. Jadi, mana rancangan untuk atasi masalah ini,” katanya.










