Kempen 'Kepulanganmu Dinanti' JPJ tumpu bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Kempen ‘Kepulanganmu Dinanti’ JPJ tumpu bazar Ramadan

ZAIRIL Khir Johari (kanan) bersama Adenan Md. Isa (tengah) ketika mengagihkan bungkusan kuih raya dan risalah keselamatan jalan raya kepada orang ramai di bazar Ramadan Taman Pauh Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap keselamatan jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang melancarkan program ‘walkabout’ Kempen Keselamatan Jalan Raya iaitu ‘Kepulanganmu Dinanti’ selama tiga hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kempen itu memberi tumpuan kepada beberapa lokasi ‘blackspot’ yang direkod berdasarkan statistik lokasi kerap kemalangan di negeri itu.

Katanya, kesedaran pengguna jalan raya amat penting khususnya ketika musim perayaan ini bagi melancarkan perjalanan trafik sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama melibatkan kemalangan maut.

Beliau berkata, berdasarkan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018, Pulau Pinang merekodkan sehingga 45,734 kemalangan jalan raya dan jumlah itu meningkat pada tahun berikutnya kepada 47,198 kes.

“Bagaimanapun, jumlah kemalangan itu kembali menurun pada 2020 iaitu kepada 35,234 kes dan 18,166 kes sehingga Julai 2021 (disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan). Statistik terkini pula masih dalam proses pengemaskinian oleh pihak PDRM.

“Tujuh kesalahan utama yang direkodkan pula ialah melibatkan kesalahan lalu lintas iaitu memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya.

Beliau ditemui ketika pelancaran program ‘walkabout’ itu yang turut dihadiri oleh Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa di bazar Ramadan Taman Pauh Indah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adenan memberitahu, pihaknya memilih bazar Ramadan sebagai lokasi kempen keselamatan jalan raya kali ini bagi memberi kelainan dalam mendekati masyarakat.

“Kita tahu di sini (bazar Ramadan) adalah tempat tumpuan pengguna jalan raya sama ada penunggang (motosikal) atau pemandu (kereta). jadi, kita buat kelainan dengan harapan timbul kesedaran dalam kalangan mereka untuk berubah.

“Ini bazar pertama dan kita akan bergerak (berkempen) dari satu bazar ke bazar yang lain yang menjadi tumpuan orang awam untuk menjayakan kempen ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya