Kalendar pelancongan Kedah disaran senaraikan Hari Songkran

Kalendar pelancongan Kedah disaran senaraikan Hari Songkran

umno
MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Kedah menggesa kerajaan negeri memasukkan Hari Songkran yang disambut pada pertengahan April setiap tahun oleh masyarakat Siam ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sambutan Hari Songkran memiliki keunikan tersendiri yang boleh menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Ketika mentadbir Kedah sebelum ini, Barisan Nasional (BN) sentiasa mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Siam berkaitan kemajuan, pembangunan serta keamanan negeri mahupun negara.

“Justeru UMNO menggesa pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini untuk melihat kepada kepentingan sumbangan masyarakat Siam di negeri ini daripada aspek eko-pelancongan menerusi budaya serta adat resam mereka yang terdapat dalam sambutan Hari Songkran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedah ketika ini mempunyai jumlah penduduk masyarakat Siam paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 40,000 orang.

Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan tahun baharu bagi masyarakat Siam khususnya di Thailand, yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.

Tambah Mahdzir, sumbangan masyarakat Siam di negeri ini tidak boleh dipinggirkan sama sekali walaupun jumlahnya minoriti berbanding kaum lain.

Menurutnya, asimilasi masyarakat Siam di Kedah sejak sekian lama telah menjadikan negeri ini sangat unik khususnya menerusi pelbagai acara kebudayaan termasuk sambutan Hari Songkran.

“Sikap toleransi, muafakat dan kerjasama yang diamalkan oleh masyarakat Siam merupakan antara faktor yang mewujudkan jalinan kesatuan, perpaduan dan keamanan di negeri ini.

“Saya juga melihat sambutan Hari Songkran ini bukan sahaja boleh dijadikan acara tarikan pelancongan di peringkat negeri Kedah, malah Kementerian Pelancongan boleh juga mempromosikannya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya