Jangan samakan Songkran dengan Rain Rave - Persatuan Siam Malaysia

Jangan samakan Songkran dengan Rain Rave – Persatuan Siam Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Siam Malaysia (PSM) menjelaskan, perayaan Songkran dan Festival Rain Wave Water Music 2026 adalah berbeza dan ia tidak sepatutnya dijadikan bahan polemik politik.

Presiden PSM, Sam Maark Suvanphet berkata, Songkran merupakan perayaan Tahun Baharu masyarakat Siam yang sarat dengan nilai budaya, kekeluargaan dan penghormatan, termasuk amalan memohon restu ibu bapa serta aktiviti keagamaan di wat.

Katanya, perayaan itu adalah warisan turun-temurun komuniti Siam di Malaysia yang disambut dalam suasana penuh adab dan tertib.

“Sebaliknya, acara festival muzik air yang dianjurkan di lokasi tertentu merupakan program hiburan dan ekonomi yang tidak mempunyai kaitan dengan budaya atau agama masyarakat Siam.

“Penjelasan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing juga memperjelaskan bahawa penganjuran festival tersebut bukanlah Songkran, sebaliknya sebuah acara muzik berkonsepkan air yang bertujuan merancakkan ekonomi setempat serta memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sam berkata, pihaknya memandang serius kekeliruan tersebut yang telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif termasuk mengaitkan Songkran dengan isu sosial yang tidak berasas.

“Keadaan itu lebih membimbangkan apabila ia turut dipolitikkan sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Hakikatnya sambutan Songkran oleh komuniti Siam di negeri seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan berlangsung dalam keadaan aman, teratur dan penuh nilai budaya serta sentiasa dihormati masyarakat setempat tanpa sebarang kontroversi,” katanya.

Katanya, Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan budaya perlu terus dipelihara dengan semangat saling menghormati dan memahami.

“Sekiranya terdapat program yang dirasakan tidak bersesuaian dengan pegangan mana-mana pihak, maka pilihan untuk tidak menyertainya adalah hak masing-masing tanpa perlu menimbulkan kekeliruan terhadap budaya kaum lain,” katanya.

Sehubungan itu, Sam menyeru semua pihak agar tidak menyamakan Perayaan Songkran dengan mana-mana acara hiburan yang tidak berkaitan serta mengelakkan budaya dijadikan bahan polemik politik.

“Peningkatan perhatian terhadap isu ini boleh dijadikan peluang untuk memperkenalkan dengan lebih jelas identiti, nilai dan keunikan masyarakat Bumiputera Siam kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Songkran adalah warisan budaya kami dan kami akan terus mempertahankan kefahaman yang betul agar ia kekal dihormati sebagai perayaan yang membawa nilai perpaduan, hormat dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×