PETALING JAYA: Idea sebuah syarikat penerbangan Sarawak mungkin tidak mampu bertahan dan bakal berdepan isu kebolehlaksanaan daripada aspek ekonomi yang akhirnya memberi impak kepada ekonomi negeri.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii berkata, beliau belum yakin dengan idea tersebut meskipun menyokong sebarang langkah terbaik untuk Sarawak khususnya berhubung penambahbaikan dasar pengangkutan dan menstabilkan harga tiket ke negeri itu.
“Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip dengan cadangan tersebut, saya menyeru demi kebaikan rakyat Sarawak agar kita dimaklumkan dengan jelas dan terperinci tentang perancangan pelaksanaan projek tersebut.
“Pengangkutan adalah antara sektor yang amat sukar, memerlukan tatacara pengurusan struktur organisasi berlandaskan undang-undang, dasar keselamatan penumpang dan perkara lain yang berkait rapat dengan perundangan penerbangan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar memaklumkan beliau bersetuju dan menyokong terhadap hasrat Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri dalam satu majlis Perasmian Raia Hotel and Convention Centre Kuching serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim.
Terdahulu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dalam dalam ucapannya meminta Anwar mempertimbang permohonan Kerajaan Negeri Sarawak itu.
Pada sama sama, Kelvin berkata, keputusan itu bukan sahaja menuntut dana awam yang tinggi pada permulaan, tetapi mempertahan kerangka model perniagaan juga amat sukar kerana berkemungkinan tidak mempunyai unjuran ekonomi mampan untuk jangka waktu panjang.
“Jika ia memberikan keuntungan sudah pasti syarikat penerbangan yang lain akan mengambil kesempatan dan menyediakan laluan lebih ke dalam dan keluar Sarawak.
“Kita tidak mahu selepas beoperasi, Sarawak terpaksa menyelamatkan dan menggunakan dana awam bagi meneruskan kelangsungan syarikat penerbangan yang tidak mampu bertahan kelak,” jelasnya.
Beliau percaya kaedah yang lebih baik adalah dengan menjalin hubungan kerjasama dengan syarikat nasional dan swasta bagi penambahbaikan jaringan perhubungan khususnya laluan domestik Sarawak.
Jelasnya, penyediaan insentif atau subsidi adalah dasar yang lebih mapan daripada membina keseluruhan sistem penerbangan baharu menuntut pelaburan tinggi dan kepakaran yang mungkin tidak akan memberi manfaat untuk jangka masa panjang.
“Secara prinsip, kerajaan tidak harus terlibat di dalam perniagaan. Peranan mereka adalah menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi perniagaan berkembang atau mencadangkan dasar insentif bagi sektor swasta agar mereka mempunyai pelan perniagaan yang baik dan mampan untuk rakyat.
“Konklusinya, kerajaan Sarawak harus telus. Perancangan harus dimaklumkan dengan jelas dan terperinci termasuk pelan jangka pendek dan jangka panjang agar rakyat boleh menilai sejauh manakah perancangan ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan tidak akan menjejaskan keselamatan ekonomi Sarawak,” katanya. – UTUSAN










