KUALA LUMPUR: UMNO menafikan tohmahan ‘berkhianat’ yang mencetuskan kemelut politik di Negeri Sembilan sehingga menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak berlaku pengkhianatan di pihak UMNO Negeri Sembilan kerana sokongan diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah sehingga akhir penggal sahaja.
Katanya, apabila Menteri Besar mengumumkan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu, maka UMNO memilih untuk ‘bergerak solo’ dalam PRN akan datang.
“Kita bekerja sebagai sebuah gabungan parti yang tentunya mempunyai hala tuju yang harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
“Saya tidak fikir ada sebarang pengkhianatan yang dilakukan apabila sesuatu penggal pentadbiran negeri atau peringkat nasional itu telah tamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara Ke-4, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kepimpinan UMNO hanya mencari jalan terbaik bagi memperkukuhkan kedudukan parti di DUN atau di Parlimen.
“Apabila DUN sudah dibubarkan, maka kita mencari jalan yang terbaik bagi kita memperkukuhkan kedudukan kita di Dewan Undangan Negeri ataupun di Parlimen,” katanya.
Semalam, Amiruddin pada pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, mengajak pengundi di negeri tersebut untuk menghukum UMNO dalam PRN pada 1 Ogos depan kerana berkhianat.
Aminuddin menggesa penyokong PH turun beramai-ramai pada hari pengundian, menyeru peratusan keluar mengundi mencapai 80 peratus.
“Tunjukkan rasa ketidakpuasan hati kita kepada mereka yang khianat kita. Kalau boleh, kita nak 1 Ogos bukan sekitar 70 peratus saja keluar mengundi. Kita hendak 80 peratus keluar mengundi.
“Inilah peluang kita. Inilah masa kita. Tunjukkan kepada mereka. Ajar mereka. Pastikan bahawa rakyat hari ini mampu untuk memberi hukuman kepada mereka. Yang mampu memberi hukuman adalah pengundi,” katanya.-UTUSAN










