Tarikh pilihan raya hak SPR

Tarikh pilihan raya hak SPR

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara ke-4 di KLCC, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan dilakukan secara berasingan.

Presiden UMNO itu berkata, keputusan menentukan tarikh pilihan raya merupakan hak SPR dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi anggota Jemaah Menteri.

“Itu adalah hak dan kuasa yang ada kepada SPR dan tidak sepatutnya mana-mana individu atau apatah lagi jika kita berkedudukan sebagai anggota Jemaah Menteri mempunyai pendapat peribadi yang begitu.

“Apatah lagi jika seseorang itu adalah pemimpin utama mana-mana parti yang menjadi anggota kepada kerajaan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Ulama Asia Tenggara Ke-4, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kritikan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang menyifatkan penjelasan SPR berhubung tarikh berasingan bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan sebagai tidak munasabah.

Semalam, Nga dilaporkan mempersoalkan keputusan SPR mengadakan kedua-dua pilihan raya itu secara berasingan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan hanya berselang tiga hari.

Beliau turut mendakwa seluruh suruhanjaya itu wajar meletakkan jawatan jika tidak mampu mengendalikan pilihan raya serentak bagi dua negeri terbabit.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAPSY yang melabel UMNO sebagai hipokrit berhubung kerjasama politik dengan Pakatan Harapan, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin parti komponen supaya menghormati rakan dalam gabungan.

“Jangan keluar perkataan-perkataan secara semberono. Saya tidak fikir Setiausaha Agung partinya bersikap begitu. Beliau mesti menghormati prinsip-prinsip perkongsian di dalam politik.

“Rakan kongsi politik harus jaga hati, yang penting jaga lidah, supaya tidak keluar apa yang ada dalam hati,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN