GEORGE TOWN : Kementerian Pendidikan (KPM) mahu aspek keselamatan dan perlindungan guru sentiasa diutamakan ketika menjalankan tugas di sekolah susulan insiden seorang guru disiplin dipercayai cedera selepas didakwa ditumbuk sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar, Perak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, guru yang melaksanakan tugas penguatkuasaan disiplin di sekolah perlu diberikan perlindungan di bawah undang-undang dan sebarang tindakan yang menyalahi peraturan tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, KPM memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan semua pihak terlibat bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan sekolah.
”Kita harus pertahankan apa yang kita sebut sebagai perlindungan kepada guru-guru kita semasa mereka menjalankan kuasa dan tanggungjawab sebagai seorang guru, khususnya guru disiplin.
”Guru kita mempunyai hak untuk dilindungi di bawah undang-undang. Sebab itu saya tekankan bahawa kita mempunyai laporan dan siasatan daripada pihak kementerian serta pihak berkuasa bagi memastikan kejadian ini dapat ditangani mengikut undang-undang,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu lalu, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati beberapa pelajar selepas rambut salah seorang daripada mereka digunting oleh guru disiplin terbabit.
Fadhlina berkata, semua warga sekolah perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat, harmoni dan berdisiplin.
”Dalam masa yang sama, peraturan-peraturan yang telah ditetapkan juga mesti dipatuhi oleh semua pihak yang menjadi warga sekolah,” katanya.-UTUSAN










