KUALA NERUS: Negeri-negeri sempadan negara kekal merekodkan kadar tertinggi penagih dan penyalahgunaan dadah di Malaysia bagi tahun lalu, dipercayai berpunca daripada faktor kedudukan geografi yang memudahkan kemasukan bekalan bahan terlarang ke pasaran tempatan.
Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Siti Mariam Mursidan berkata, berdasarkan statistik, Kelantan mencatat kadar tertinggi iaitu 1,105 penagih dan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk.
Katanya, ia diikuti Terengganu dengan 997 orang, Perlis (970 orang) dan Kedah (965 orang).
“Keempat-empat negeri ini berada berhampiran sempadan negara serta mempunyai laluan keluar masuk yang dikenal pasti menjadi antara faktor utama bekalan dadah lebih mudah diperoleh,” katanya pada Program Kuala Nerus Car Free Hour (KNCFH) dan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Terengganu 2026, di sini hari ini.
Siti Mariam berkata, secara keseluruhan sebanyak 191,832 penagih dan penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara tahun ini dengan kadar nasional mencecah 560 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Katanya, negeri lain yang turut mencatat kadar tinggi ialah Pahang dengan 795 orang, Pulau Pinang (757 orang), Melaka (659 orang), Perak (579 orang) dan Negeri Sembilan (553 orang).
“Sementara itu, Sabah merekodkan kadar terendah iaitu 230 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Putrajaya (276 orang), Selangor (338 orang), Wilayah Persekutuan Labuan (451 orang), Kuala Lumpur (488 orang), Sarawak (498 orang) dan Johor (499 orang),” katanya.
Kata beliau, faktor lokasi berhampiran sempadan antarabangsa, aktiviti penyeludupan serta jaringan pengedaran aktif menyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan dadah di negeri-negeri terbabit.
Katanya, akses mudah terhadap bekalan bahan terlarang turut menyebabkan risiko penagihan dalam kalangan belia dan golongan produktif semakin membimbangkan.
Sementara itu, beliau berkata, pemilihan Kampung Aspirasi Bebas Dadah bukan bermaksud kawasan tersebut mempunyai ramai penagih, sebaliknya dipilih berdasarkan faktor risiko, komitmen kepemimpinan serta kesediaan komuniti membantu AADK melaksanakan program pencegahan. – UTUSAN










