Henti sementara eksport ikan elak harga naik drastik - Utusan Malaysia

Henti sementara eksport ikan elak harga naik drastik

PENGEKSPORTAN ikan perlu dihentikan bagi memastikan bekalannya stabil.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) meminta kerajaan menghentikan sementara aktiviti mengeksport hasil laut ke terutama ikan bagi mengelak kenaikan harga mendadak berikutan kekurangan bekalan tempatan.

Kekurangan sumber bekalan pada masa ini menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan mendadak harga ikan di pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ia perlu dihentikan kerana hasil laut berkualiti contohnya ikan, sotong, ketam, udang gred A dan B di eksport manakala gred C serta D dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata, pengeksportan hasil laut gred A dan B ini menjurus kepada kekurangan bekalan di pasaran tempatan sekali gus menyebabkan harganya naik mendadak.

“Kenaikan harga ikan berikutan krisis bekalan menyebabkan kehidupan rakyat pada ketika ini semakin tertekan pada bulan Ramadan ini dan menjelang Hari Raya Aidilfitri sekali gus meningkatkan kos sara hidup.

“Berdasarkan tinjauan di­buat, kami mendapati harga ikan seperti kembung meningkat sehingga mencecah RM20 sekilogram. Kerisi kasar RM20 sekilogram, ikan selar RM19 sekilogram.

“Selain ikan, udang juga mahal sehingga RM46 sekilogram, sotong gred C RM42 sekilogram dan sotong jarum RM35 sekilogram. Peningkatan harga ini semestinya membebankan dan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, kerajaan memberikan subsidi bahan api dan pelbagai inisiatif kepada pengusaha-pengusaha bot dan nelayan untuk pengguna mendapatkan hasil laut yang berkualiti serta harga berpatutan.

Malangnya beliau berkata, subsidi dan inisiatif yang diberikan serta sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia tetapi digunakan untuk kesenangan rakyat negara luar yang mengimport hasil laut negara.

“Hasil laut gred A dan B di pasaran begitu kurang. Yang ada hanya gred C dan D dengan harga yang tinggi dan menjadi satu tamparan kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, di Pantai Timur sebagai contoh, ikan berkurangan kerana bekalan sumber protein ini pada gred terbaik setiap hari dihantar ke negara jiran. “Ini bukan dakwaan tetapi kita dapat maklumat daripada nelayan sendiri.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN