KUALA LUMPUR: “Jumpa selepas raya, gerak macam biasa.”
Itu antara pesanan akhir vokalis XPDC, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim yang dikongsikan kepada sahabat karib merangkap pengurus kumpulan XPDC, Mohd. Yazid Selamat.
Kongsi Yazid, pesanan tersebut menggambarkan keterujaan arwah untuk menghiburkan peminat sempena konsert Soundvalley Festival yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mei depan.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian setelah arwah dijemput ilahi, semalam akibat sesak nafas.
“Kami juga saling berbalas ucapan Hari Raya, bermaaf-maafan menerusi WhatsApp.

“Dia sebenarnya sangat teruja untuk memulakan latihan bagi persembahan di Sungai Petani, Kedah pada 5 Mei depan dan konsert Soundvalley Festival di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
“Tapi apakan daya, sampai masa Allah ambil dia lebih dahulu. Saya doa dan berharap dia tenang bersama orang beriman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Yazid, dia tahu dalam keadaan apa sekali pun, arwah tetap mahu persembahan-persembahan tersebut dilunaskan demi peminat.
“Show tetap diteruskan. Insya-Allah, kami akan buat sesi dedikasi khas untuk arwah pada dua konsert melibatkan XPDC sekitar Mei ini,” katanya.
Mengenang kebaikan arwah, Yazid menyifatkan Mael sebagai seorang anak seni yang cukup komited terhadap kerja-kerjanya.
Kata Yazid, Mael dalam keadaan dia menghidap penyakit asma kronik, tetap bersungguh-sungguh melunaskan tanggungjawab ketika membuat persembahan.
“Dia memang pemuzik sejati. Lagu dan melodi XPDC tersimpan rapi dalam memori arwah.
“Jadi kalau tak berlatih pun tak mengapa. Sebab dia memang ada kelebihan tersebut.
“Kami tahu dia hidap asma kronik. Namun dia tidak pernah jadikan keadaan kesihatannya sebagai alasan untuk tidak membuat persembahan. Dia seorang yang bertanggungjawab,” kongsi Yazid.
Dalam masa yang sama, Yazid, yang lebih tiga dekad mengenali arwah menyifatkan Mael sebagai sahabat yang baik dan ramah.
“Banyak kenangan yang kami kongsi bersama. Bermula apabila kami sama-sama menyertai band Tragedi.
“Ke kuala Lumpur hidup susah dengan kurang tawaran membuat persembahan. Sampaikan makan minum kami kawan belanja. Jalan kaki sama-sama ke tempat show. “Susah senang kami lalui bersama semata-mata nak capai impian untuk berjaya seperti Search, Wings dan banyak lagi,” kongsinya.
Sementara itu, berita pemergian vokalis kumpulan XPDC itu malam tadi mengejutkan keluarga terdekatnya.
Menurut anak saudaranya, Norashikin Abdullah, 44, kali terakhir dia bertemu Allahyarham beberapa hari lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli-ahli keluarga raya kali ini.
“Keadaan fizikalnya sedikit susut namun masih ceria bertemu serta menyapa sanak-saudara.
“Kami tidak menyangka ucapan maaf tempoh hari menjadi petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Karakter Allahyarham yang sangat tenang pastinya memberi kesan mendalam kepada seluruh ahl keluarga dan sahabat handai.
Difahamkan Allahyarham amat menekankan pendidikan agama kepada anak-anaknya sejak kecil lagi.
Sementara itu, kaum keluarga serta rakan selebriti Allahyarham yang ditemui turut mengakui terkejut dengan berita pemergian lagenda rock tanah air itu.
Antara rakan artis yang dilihat hadir termasuk ahli kumpulan XPDC, Crossfire serta Joe Wings.
“Damailah di tempat baharumu ini sahabatku. Terima kasih atas segala kenangan yang kita kongsi bersama selama ini.
“Gua juga akan menyusul lu bila time gua sampai nanti. Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa’afihi Wa’fu’anhu Syed Ismail Syed Ibrahim @ Mael XPDC, 7 Mac 1967-27 April 2023,” kongsi Joe Wings.
Jenazah Mael XPDC selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, pukul 10.55 pagi tadi dan dihadiri kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara, rakan artis, peminat serta penduduk setempat.-utusan










