PONTIAN: Hanya bermula secara kecil-kecilan menggunakan ruang dapur di rumah, kini Normah Tewiran, 56, boleh berbangga apabila hasil kek buah yang diusahakan itu membolehkannya memiliki bangunan sendiri.
Lebih membanggakan, kek buah di bawah jenama Anugerah Cemerlang itu bukan sahaja untuk pasar tempatan, malah turut ‘diterbangkan’ ke Doha, Qatar dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Normah mengakui tidak menang tangan menerima tempahan daripada penggemarnya.
Menurutnya, selepas berhenti daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada 1990, dia membuka kedai jahitan sebelum menceburi bidang pembuatan kek, roti dan kuih yang dihantar ke kantin sekolah, kedai runcit dan sekolah berasrama di sekitar Pontian selain gerai dan warung yang menjual sarapan pagi.
“Pembuatan kek kukus buah ini hanya bermula pada 2014 dengan dorongan keluarga dan rakan-rakan yang menaruh keyakinan saya mampu untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Markom, Benut, di sini.
Normah mampu menghasilkan sebanyak 100 buku kek buah kukus sebulan, bergantung dengan permintaan daripada pelanggan yang membeli terus dari rumahnya.
“Seiring dengan perkembangan teknologi maklumat serta bantuan anak-anak, saya mula memasarkannya secara digital menerusi platform Shopee. Tempahan diuruskan oleh anak yang belajar di UiTM Melaka, manakala yang lain membantu dari segi penghantaran dan pemasaran,” katanya sambil memberitahu memulakan perusahaan tersebut dengan modal RM5,000.
Selain itu, beliau juga melantik wakil-wakil pemasaran dalam kalangan ahli keluarga di Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur bagi memudahkan penggemar makanan tersebut membelinya.
Dengan bantuan dua adiknya bertugas sebagai jurutera di Doha, Qatar, kek buah kukusnya turut ‘diterbangkan’ ke sana dan mendapat sambutan baik daripada komuniti Malaysia.
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, biasanya tempahan meningkat antara 1,000 hingga 2,000 buku kek buah kukus yang dipasarkan menerusi Shopee mahupun medium pemasaran yang lain.
“Memandangkan bengkel saya tidak luas, kerja-kerja pembuatan dan memasak dibantu oleh anak perempuan saya yang menunjukkan minat dalam pembuatan kek buah kukus ini. Saya juga membuat kuih-muih tradisional yang lain seperti bangkit, rempeyek, baulu dan kerja-kerja pembungkusan diberikan kepada ibu-ibu tunggal di kampung ini,” katanya yang kini turut mempelajari pembuatan kek lapis Sarawak.
Walaupun memberikan tumpuan terhadap pembuatan kek buah kukus dan lain-lain, namun Normah masih tetap menerima tempahan jahitan daripada penduduk setempat. – UTUSAN










