KOTA BHARU: Dua sahabat berpakat menjual makaroni bakar yang diletakkan di beberapa gerai di bazar Ramadan di sekitar Kota Bharu sejak hari pertama puasa.
Che Ahmad Jauhari Che Fahmi, 39 dan Zamri Che Seman, 35, tidak menyangka kaedah menumpang jualan makaroni bakar itu di gerai rakan-rakan membuahkan hasil apabila 200 pek makanan itu dapat dijual setiap hari.
Che Ahmad Jauhari berkata, meskipun sudah tiga tahun berniaga makaroni bakar, kehadiran bulan Ramadan merupakan satu peluang yang ditunggu-tunggu apabila dapat menjual makanan itu lebih berbanding hari-hari biasa.
Menurutnya, dia mencuba meletakkan hidangan tersebut di gerai rakan-rakan di bazar Ramadan dan ia habis hampir setiap hari.
“Satu pek makaroni bakar dijual pada harga RM15. Harga yang ditetapkan sedikit mahal kerana proses membuatnya rumit selain kenaikan kos bahan mentah ketika ini.
“Meskipun sering mendapat rungutan mengenai harga, hidangan makaroni bakar ini ada penggemarnya sendiri. Disebabkan itu, makanan itu laris di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Che Ahmad Jauhari memberitahu, keunikan makaroni bakar yang dihasilkan bersama Zamri adalah mereka tidak kedekut jumlah keju yang diletakkan di dalam setiap pek.
Menurutnya, apabila makaroni dibakar, limpahan keju akan memenuhi bekas ditambah pula dengan rempah-rempah lain yang diletakkan bersama.
“Sebanyak empat buah pembakar digunakan untuk membakar 200 pek makaroni bakar setiap hari dan kerja-kerja memasak bermula pukul 9 pagi sebelum dihantar ke bazar Ramadan.
“Selain untuk jualan, ada pelanggan yang menempah sebanyak 100 hingga 200 pek makaroni bakar untuk disedekahkan kepada golongan asnaf,” ujarnya. – UTUSAN










