PETALING JAYA: Kira-kira sejuta warga kota dijangka keluar dari ibu negara bagi menyambut Aidilfitri bermula 20 April ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya menjangkakan 60 peratus penduduk akan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Katanya, pihak polis menyasarkan seramai mungkin penduduk untuk memaklumkan menerusi borang maklumat balik kampung dan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Ia bertujuan membantu polis membuat pemantauan di kediaman yang ditinggalkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pelancaran Kempen Pemanduan Berhemah dan Rumah Selamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, statistik bagi Januari hingga Mac tahun ini menunjukkan jumlah kemalangan maut mencatatkan peningkatan sebanyak lima kes, kecederaan ringan meningkat 58 kes dan cedera parah menurun satu kes berbanding tahun 2022.
Dalam pada itu, menurut Yahaya, siasatan berhubung dakwaan warga China diperas ugut dalam sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, minggu lalu telah dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, setakat ini seramai tujuh individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Siasatan berhubung kes berkenaan selesai dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada TPR.
“Polis sedang menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video dimuat naik di akaun TikTok sebelum tular di media sosial lain, memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit sedutan rakaman kejadian.
Menerusi kapsyen yang disertakan bersama video itu, anggota polis terbabit didakwa memeras RM200 ke atas seorang pelancong wanita dari China kerana tidak membawa pasportnya, yang kononnya ditinggalkan di hotel. – UTUSAN










