Trump pilih kawal Selat Hormuz berbanding sambung perang

Trump pilih kawal Selat Hormuz berbanding sambung perang

PENUNJUK perasaan memegang papan tanda dan bendera ketik berhimpun berhampiran Rumah Putih untuk membantah perang ke atas Iran di Washington, DC.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan pembantunya untuk bersedia dengan sekatan berpanjangan Tentera Laut AS di Selat Hormuz, ketika Washington berusaha meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Iran susulan konflik yang memasuki bulan ketiga.

Dalam pertemuan dengan pembantu kanan, Trump memutuskan untuk terus memberi tekanan ke atas keupayaan Iran mengeksport minyak dengan menghalang mana-mana kapal menuju atau keluar dari pelabuhan Republik Islam itu, lapor Wall Street Journal (WSJ) kelmarin.

Laporan itu berkata, Trump berpendapat langkah tersebut adalah pilihan yang kurang berisiko berbanding menyambung serangan udara atau menarik AS sepenuhnya daripada konflik berkenaan.

Keputusan itu menunjukkan AS mungkin memasuki tempoh yang panjang dengan pertempuran yang sebahagian besarnya reda, tetapi tanpa penyelesaian muktamad kepada konflik tersebut, sementara status lalu lintas di Selat Hormuz masih tidak menentu.

AS menghalang kapal yang menuju ke dan dari pelabuhan Iran bagi menekan pendapatan minyak negara itu, manakala Teheran pula mengekalkan penutupan selat tersebut kepada hampir semua lalu lintas lain.

Trump pada Selasa berkata, Iran meminta AS untuk menarik balik sekatan laut di selat berkenaan ketika kedua-dua pihak berunding untuk menamatkan perang selama dua bulan yang mengganggu bekalan tenaga global.

“Teheran mahu laluan perairan penting bagi penghantaran minyak dan gas itu dibuka secepat mungkin, ketika mereka cuba menentukan situasi kepemimpinan,” kata Trump di platform Truth Social.

Iran juga memberi isyarat ia mungkin bersedia menerima perjanjian sementara untuk membuka semula Selat Hormuz sebagai pertukaran kepada tindakan Washington menamatkan sekatan ke atas pelabuhan Iran, sambil menangguhkan rundingan lebih kompleks mengenai program nuklear negara itu.

Iran dilaporkan bertegas mahu mengekalkan sebahagian kawalan terhadap perkapalan di Selat Hormuz, tuntutan yang dijangka tidak akan diterima oleh Washington.

Menurut WSJ, Trump menolak tawaran tersebut dan memaklumkan kepada pembantunya bahawa ia menunjukkan Iran tidak berunding dengan niat yang baik.

Harga minyak Brent dilaporkan meningkat untuk sesi ketujuh berturut-turut kepada lebih AS$111 (RM438) setong, susulan kebimbangan proses yang berpanjangan boleh menyebabkan Selat Hormuz kekal ditutup untuk tempoh tidak menentu.

Kesan konflik itu turut dirasai apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mengumumkan untuk keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), sekali gus memberi tamparan kepada kartel minyak dan negara peneraju, Arab Saudi.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN