Kawal keadaan agar tidak zalim kepada penonton - Azlee Senario - Utusan Malaysia

Kawal keadaan agar tidak zalim kepada penonton – Azlee Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA perkara yang menjadi perhatian sewaktu konsert Senario Reunion 30 tahun Last Kopek baru-baru ini adalah elemen lawak yang tidak langsung ditujukan kepada mana-mana pihak. 

Senario sejak dulu mengetengahkan lawak yang berisi yang disadurkan dengan teguran, termasuk dalam lagu-lagu yang sarat dengan nasihat dan pengajaran.

Menurut salah seorang anggotanya, Azlee Jaafar, lawak yang dipersembahkan tidak semestinya ditujukan kepada seseorang, sebaliknya boleh menjadi kiasan buat renungan bersama.

“Lagu-lagu senario berkonsepkan rakyat, yang bermesej. Kalau didengar balik, ada pengajaran di situ. 

“Tapi kalau nak cakap lawak kami seratus peratus baik, tidaklah. Kadang kala terbabas juga. 

“Cuma kita perlu mengawal keadaan itu supaya tidak berlaku zalim kepada orang lain.

“Kami tidaklah sampai meletakkan penonton saya bahan lawak jenaka kami,” katanya.

Azlee berkata demikian sempena sidang media konsert berkenaan yang diadakan pada Sabtu lepas di IdeaLive Arena.

Senario yang dianggotai Azlee, Lan Pet Pet, Wahid, Ilya, Saiful Apek dan Yassin menggegarkan stadium dengan deretan 20 buah lagu.

Antara yang dipersembahkan seperti Kerja Baik Kerja Jahat, Ceti oh Ceti, Cepat Kaya, Moto Kapcai, Cinta Berkarat dan banyak lagi.

Kemunculan anak Allahyarham Hamdan senario, Muhammad Zeyreen Misha, 33, yang menyanyikan lagu kasihnya ayah bersama senario antara yang mencuri tumpuan.

Azlee menyifatkan Allahyarham sebagai insan istimewa yang banyak bekerjasama kepada industri hiburan tanah air.

“Banyak kenangan manis bersama arwah, antaranya ketika kami sama-sama menjayakan sitkom televisyen. Bergandingan dengan arwah memang tak dapat kami lupakan.

“Lagu Kasihnya Ayah itu dipopularkan kumpulan serba salah yang dianggotai arwah bersama Wahid dan Ilya. Kami bawakan bertujuh di konsert ini sebagai penghargaan.

“Kami dah kehilangan anggota, tapi kami tak pernah melupakan keluarganya, jadi kami panggil,” ujarnya.

Kumpulan Senario turut menyampaikan trofi Anugerah Bintang Popular (ABPH37) yang dimenangi mereka kepada Muhammad Zeyreen sebagai tanda kenang-kenangan.

“Trofi itu kami dah serahkan agak lama, tapi kami serahkan sekali lagi secara bersama-sama. Inilah sumbangan peminat buat kumpulan yang mereka hargai selama ini,” kongsinya.

Selain itu, kemunculan Aina Abdul juga mencuri perhatian apabila menyampaikan Zapin Usik Mengusik dan Zapin Cinta SMS.

“Aina Abdul merupakan pilihan yang tepat, pada saya Aina telah memberikan persembahan yang terbaik. Kami berlatih dua kali dan segalanya menjadi sejarah kami,” ujarnya lagi.

Azlee dalam masa yang sama meluahkan rasa gembira kerana setelah beberapa bulan berlatih, akhirnya Senario berpeluang berkumpul demi peminat.

“Alhamdulillah, ramai berpuas hati. Setelah berlatih beberapa bulan, terbukti kami masih mampu menghiburkan.

“Malam ini terbukti dengan jumlah penonton yang begitu ramai sekali, dalam usia ini, kami mampu menyanyi lagi. Kami gembira kerana konsert 30 tahun ini menghiburkan peminat yang hadir,’

“Insya-Allah kalau diizinkan dan kami keadaan kami sihat. Kalau ada penganjur yang berminat, kami pertimbangkankan. Kami akan bincangkan, mungkin akan adakan konsert 2.0, kita tak pasti perkara itu,” kongsinya.

Dalam pada itu, Azlee juga berharap terus diberkati usia agar mereka dapat menghiburkan selagi berpeluang.

“Kita harap, Allah terus merahmati kami supaya kami dapat bersatu. Kita tengok banyak kumpulan yang berpecah, kami cuma harap senario dapat bertahan.

“Tapi terlalu awal untuk bercakap tentang perkara itu. Allah yang menentukan. Harapnya silaturahim yang kita bina selama tiga puluh tahun akan kukuh, Insya-Allah,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN