KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyangkal dakwaan cubaan bersama dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini GPS tegas berdiri teguh dalam menyokong segala usaha kerajaan perpaduan untuk pemulihan ekonomi negara.
“Ini kerana Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri beberapa kali menekankan bahawa apa yang kita mahukan ialah kerajaan yang stabil, kukuh yang akan meletakkan semula Malaysia ke landasan yang betul.
“Lebih-lebih lagi dalam memulihkan ekonomi negara serta memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan sudah tentu kekayaan negara, hanya selepas itu Malaysia akan kembali kepada landasan yang betul. Jika kita terus berpolitik, kita akan ketinggalan jauh dari rantau ASEAN,” tegas beliau yang juga Ketua Whip Parlimen GPS.
Semalam, sebuah portal media melaporkan ada perbincangan dibuat oleh beberapa parti termasuk parti di Sabah dan Sarawak untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Justeru itu, Fadillah ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di sini, menolak segala berita yang dilaporkan oleh portal media tidak rasmi yang tidak sahih, sebalknya hanya mahu memberi fokus kepada kerja memulihkan ekonomi negara.
“Seperti yang saya tegaskan tadi, GPS hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan Malaysia kembali ke zaman kemajuan yang pernah dicapai terutamanya dalam usaha pemulihan ekonomi.
“Saya tidak tahu sama ada terdapat sebarang pergerakan atau tidak pada masa ini. Sebab itu saya tidak mahu mengulas sesuatu yang tidak boleh dipercayai. Kenapa saya perlu mengulas sesuatu yang tidak boleh dipercayai,” dedahnya.
Sementara itu mengulas peruntukan yang bakal diterima ahli Parlimen pembangkang, Fadillah mendedahkan, kerajaan masih menunggu tawaran rasmi daripada blok pembangkang Perikatan Nasional (PN).
“Saya memang menunggu tawaran daripada PN tetapi setakat ini kita belum menerima surat permohonan rasmi.
“Kita perlu melihat permohonan rasmi itu kerana melaluinya kita akan tahu apa tawaran mereka,” katanya.
Jelas Fadillah lagi, ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, peruntukan disalurkan kepada pembangkang selepas perundingan dijalankan antara dua pihak.
“Kalau dulu kerajaan Keluarga Malaysia (pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ada perjanjian persefahaman (MoU) dan ada perundingan.
“Tetapi sekarang ini belum berlaku lagi walaupun PN diminta mengemukakan tawaran kerana syarat bukannya daripada kerajaan.
“Kita cuma menunggu tawaran daripada mereka kerana mereka yang membangkitkan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, jadi merekalah yang harus membuat tawaran,” katanya.
Fadillah mengakui, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ada menemuinya minggu lalu, namun bukanlah perjumpaan rasmi untuk membincangkan tawaran PN.
“Saya sudah beberapa kali memberitahu mereka supaya membuat tawaran hitam putih kerana selagi kita tidak menerima tawaran rasmi, maka tidak akan berlaku perundingan,” katanya. – UTUSAN










