Gelombang hijau tidak wujud pada PRN enam negeri - Kit Siang

Gelombang hijau tidak wujud pada PRN enam negeri – Kit Siang

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vete­ran DAP, Lim Kit Siang me­nyua­rakan keyakinan bahawa Pilihan Raya Nege­ri (PRN) di enam negeri tidak akan dilanda gelombang hijau.

Ini setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ke­dah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Se­la­ngor dan Negeri Sembilan akan dibubarkan pada Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.

Katanya, gelombang itu tidak akan wujud sekira­nya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan yang dipim­pinnya ketika ini meraih soko­ngan hampir semua lapisan ma­syarakat di negara ini.

“Sekiranya orang Cina, India, Kadazan, dan Da­yak di Malaysia merasakan yang ada rancangan jahat untuk menghapuskan kaum, agama, atau budaya mereka, mereka akan bersatu dan berlawan habis-habisan.

“Begitu juga sekiranya orang Melayu dibuat untuk percaya bahawa ada rancangan jahat untuk menghapuskan kaum Melayu dan agama Islam, mereka akan menentang dan me­lawan habis-habisan,

“Tetapi, tidak ada sebarang rancangan jahat sebegini untuk menghapuskan sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, atau agama mereka mahupun budaya mereka,” katanya dalam kenyataan.

Namun, katanya, perlu ada usaha besar-besaran untuk menghapuskan per­sepsi salah yang kononnya kaum, agama, dan budaya orang Melayu sedang terancam dan akan dihapuskan kerana tidak ada sebarang ancaman sebegini yang wujud.

Katanya, perkara ini dapat dilihat dari kehadiran meriah dari pelbagai kumpulan etnik dan agama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri, baik yang dianjurkan oleh kerabat diraja, pemimpin politik atau rak­yat biasa.

“Ini menjadi bukti semangat solidariti dan keterbukaan Malaysia dalam kalangan rakyat boleh melangkaui perbezaan kaum, agama, dan budaya dan menjadi petanda yang Malaysia mampu menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun.

“Mesej tunggal yang cuba dicanang oleh Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) adalah kononnya orang Melayu sedang diancam dan orang Melayu telah kehilangan semua hak politik dan ekonomi sedangkan mesej ini dibentuk berasaskan kepada penipuan, fitnah dan berita palsu di media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN