JERANTUT: Empat anak Nur Ashikin Omar, 36, berusia antara setahun hingga 10 tahun sering kali menangis apabila meminta ibunya membeli susu dan baju baharu bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba, minggu ini.
Namun apakan daya, dia yang tidak bekerja dan tinggal di kawasan ladang sawit berdekatan jalan raya Felda Kota Gelanggi Dua di sini tidak mampu memenuhi permintaan anaknya kerana berdepan kesusahan hidup berikutan suaminya, Nurul Ridzuan Ab. Rahman, 35, ditahan pihak berkuasa sebulan lalu akibat kesalahan dadah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Ashikin berkata, sebelum ini, kehidupan dia dan empat anak ditanggung suaminya yang menoreh getah di kebun milik bapa mentua dengan pendapatan antara RM100 hingga RM150 seminggu.
Katanya, biarpun pendapatan Nurul Ridzuan tidak seberapa, mereka masih mampu meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan sederhana, namun setelah ketiadaan suaminya keluarga itu hilang punca pendapatan.
“Jadi bila anak minta baju raya, hendak beli pakaian raya dengan apa? Barang keperluan dapur pun tidak mampu dan memasak bagi juadah berbuka puasa pun ala kadar sahaja.
“Cuma kadang-kadang kami dibantu oleh keluarga ipar berdekatan yang bersimpati terhadap anak-anak saya,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, dia tidak mampu keluar bekerja kerana perlu menjaga empat anaknya termasuk Ainul Mardhiah yang berusia enam tahun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami gangguan saraf, kelemahan pergerakan dan kecacatan bahagian mata akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu.
Tambah menyedihkan, dia dan anaknya kini tinggal di sebuah rumah yang belum siap dibina oleh suami di tanah milik bapa mentuanya.
“Ketiadaan suami menyebabkan saya tertekan bukan memelihara anak yang masih kecil termasuk seorang OKU yang perlu menjalani rawatan saraf dan mata malah memikirkan keadaan keselamatan diri serta anak-anak yang masih tidak terjamin kerana tinggal di rumah belum siap dibina oleh suami dan kekurangan serba-serbi serta timbul kebimbangan pada waktu malam,” katanya.
Nur Ashikin juga bimbang dengan kesan tekanan psikologi anak sulungnya, Adam Mukhriz, 10, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua di sini yang sudah memahami apa yang berlaku terhadap ayahnya termasuk suasana kesusahan keluarga.
Katanya, dia juga perlu menyediakan perbelanjaan bulanan RM1,300 untuk membeli barang dapur, susu dan lampin pakai buang bagi digunakan oleh anaknya yang berusia setahun, dua tahun termasuk rawatan anak OKU yang kini semakin merosot kesihatannya.
“Saya amat berharap ada dermawan dan pihak berwajib yang dapat membantu meringankan kesusahan saya khususnya menyediakan keperluan makanan, kebajikan serta perubatan anak OKU ini,” katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Nur Ashikin menerusi talian 0132034639 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank bernombor 152116524825. – UTUSAN










