ALOR SETAR: Sebarang usaha untuk menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik tidak wajar dijalankan kerana ia telah melanggar Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd. Sobri Ramlee berkata, kerajaan negeri Kedah sepatutnya perlu lebih tegas menjaga khazanah alam yang terdapat di dalam hutan simpanan kekal (HSK) berkenaan.
Katanya, sebarang usaha yang telah dijalankan sebelum ini turut bertentangan dengan akta tersebut termasuk pemberian lesen eksplorasi mineral REE pada Disember 2020 dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 10 Januari lalu.
“Berdasarkan Seksyen 2, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan seksyen yang sama Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) serta ketetapan yang diputuskan dalam Mesyuarat Petugas Khas Bagi Mengkaji Kesan Pengeluaran Lanthanum di dalam HSK Terhadap Dirian Hutan Bil 1/2020 ternyata REE tidak termasuk dalam tafsiran hasil hutan.
“Jelas sebarang usaha yang telah dijalankan bertentangan dengan akta tersebut dan kita ingin tahu adakah kerajaan negeri Kedah masih berhasrat meneruskan usaha penerokaan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan tiada aktiviti penerokaan REE di hutan simpan tersebut setakat ini berikutan syarikat Prospek Suria Sdn. Bhd. yang diberi lesen eksplorasi untuk mengkaji mineral itu sedang menyediakan laporan EIA untuk fasa berikutnya sebelum cari gali dibenarkan.
Tambah Mohd. Sobri, gesaan Majlis Tanah Negara (MTN) semasa Mesyuarat MTN kali ke-70 pada tahun 2014 supaya semua kerajaan negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelak kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK wajar dipatuhi.
Katanya, sebarang pindaan Enakmen Perhutanan Negeri Kedah untuk menyahwartakan status Hutan Simpan Bukit Enggang perlu melibatkan penyertaan awam.
“Penduduk sekitar hutan itu masih bergantung kepada sumber air bersih dari Bukit Enggang sebagai punca sumber air utama kerana Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak dapat menyalurkan sumber air bersih ekoran beberapa faktor yang tidak dapat diatasi sehingga kini.
“Maka, sebarang kerja yang dijalankan di hutan berkenaan telah memberi kesan secara langsung kepada sumber air bersih penduduk. Kami berharap kerajaan negeri pertimbangkan sebarang usaha penerokaan sumber mineral di situ demi kelangsungan hidup penduduk sekitar,” katanya. –UTUSAN










