REE: GAS serah memorandum kepada Sanusi

REE: GAS serah memorandum kepada Sanusi

AHMAD Kamarudin (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Ku Abdul Muhi Abdul Hamid (dua dari kanan) di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas dikritik sebagai pengecut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sekumpulan pengguna media sosial, TikTok yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Anti Sanusi (GAS) mendedahkan identiti sebenar apabila tampil menyerahkan memorandum berhubung isu unsur nadir bumi (REE).

Memorandum itu antara kandungannya meminta penjelasan terperinci daripada Muhammad Sanusi berhubung persoalan syarikat yang mendapat kebenaran mengorek REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Menurut wakil GAS, Ahmad Kamarudin, pihaknya berharap Menteri Besar dapat memberi maklum balas baik secara lisan mahupun bertulis memandangkan REE melibatkan hasil bumi Kedah yang amat bernilai.

“Kita akan tunggu maklum balas beliau dan mungkin selepas itu kita akan adakan siri kedua untuk menyampaikan memorandum kepada kementerian terlibat di Putrajaya bagi menyelesaikan isu berkaitan,” katanya selepas menyampaikan memorandum tersebut kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Ku Abdul Muhi Abdul Hamid di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Akhbar ini baru-baru ini menyiarkan kenyataan Muhammad Sanusi menyelar GAS yang sering mengkritik beliau di TikTok selain mendakwa mereka sebagai pengecut kerana berselindung di sebalik akaun media sosial itu tanpa menunjukkan identiti sebenar.

Sementara itu, Ahmad berkata, Menteri Besar perlu menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan demi kepentingan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Kami mewakili rakyat Kedah memohon kebijaksanaan serta ketegasan Menteri Besar untuk segera membentuk satu jawatankuasa penyiasat yang cekap bagi merungkai berapakah nilai kerugian akibat kegiatan kecurian REE yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Tambah Ahmad, susulan daripada kenyataan Muhammad Sanusi agar GAS hanya bermain congkak, mereka hari ini turut membawa permainan tradisional itu untuk dihadiahkan kepada beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Pemacu Pelancongan Daerah Sik (Pedas), Ab. Rahim Husain berkata, pihaknya yang mewakili penggiat pelancongan di kawasan itu bimbang dengan aktiviti mengorek REE yang berkemungkinan merosakkan alam sekitar.

“Kami cuma mahu penjelasan daripada kerajaan negeri tentang jaminan bahawa ekosistem daerah itu akan terus dijaga untuk sektor pelancongan kerana kawasan di sini banyak sungai-sungai. 

“Sejauh mana kerajaan negeri akan pastikan REE ini tidak akan jejas sektor pelancongan Sik dan apakah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di situ,” katanya yang turut menyertai gerakan itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya