Lombong haram bukan berlambak di Kedah, Sanusi perbetul kenyataan Fadillah

Lombong haram bukan berlambak di Kedah, Sanusi perbetul kenyataan Fadillah

PUNCAK Bukit Enggang di Sik yang dibangunkan seperti kubu perang untuk kerja-kerja melombong nadir bumi secara haram oleh pekerja asing. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan menyatakan beliau mengakui bahawa kebanyakan tapak perlombongan haram di negara ini berada di Kedah.

Mengulas perkara itu susulan sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam, beliau menegaskan tidak berniat untuk mendedahkan rahsia sulit negara apabila membangkitkan perkara itu.

Sebaliknya Muhammad Sanusi berkata, beliau sekadar mahu membetulkan maklumat salah yang tular ketika ini ekoran Fadillah tersalah faham mengenai jumlah lombong haram di seluruh negara yang disebutnya dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN), pagi semalam.

“60 lombong haram yang saya sebutkan itu adalah daripada sumber agensi tertentu yang sampai kepada saya. 60 lombong haram itu bukan hanya tertumpu di Kedah tetapi di seluruh negara.

“Hal ini diakui benar oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KetSA) dalam mesyuarat itu.

“Ini bukan kategori mendedahkan rahsia sulit negara. Ini satu kewajipan membetulkan salah maklumat yang ditularkan oleh pengerusi mesyuarat dalam sidang akhbar beliau,” katanya menerusi Facebooknya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri mendakwa terdapat 60 tapak perlombongan haram di negara ini yang kebanyakannya melibatkan nadir bumi dengan tapak paling banyak berada di Kedah yang dakwanya diakui Muhammad Sanusi dalam mesyuarat berkenaan.

Tambah Muhammad Sanusi, mereka yang terlibat dalam kegiatan perlombongan haram di Kedah yang ‘popular’ sebelum ini sudah pun ‘dicekup’ dan didakwa.

“Maknanya yang masih beroperasi itu ada di tempat lain, bukan berlambak di Kedah. Kalau betul ada lombong haram di Kedah, ‘pakar geologi’ dan ‘pakar lombong’ Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) sudah raya sakan sebelum puasa lagi,” katanya.

Pada 3 Oktober tahun lalu, Utusan Malaysia secara eksklusif mendedahkan kegiatan mencuri unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) yang membabitkan kerugian besar kepada negeri ini dan Malaysia yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Kira-kira empat bulan kemudian, akhbar ini sekali lagi melaporkan seramai kira-kira 50 individu termasuk warga asing ditahan dalam operasi diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) kerana disyaki mencuri nadir bumi di hutan simpan berkenaan.

13 April lalu, seramai 40 individu termasuk 35 warga asing dari China, Nepal dan Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling selepas menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang yang menjadi kesalahan di bawah subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya