SPRM siasat menteri besar berkaitan isu REE

SPRM siasat menteri besar berkaitan isu REE

NADIR bumi yang bernilai tinggi kini menjadi buruan banyak pihak sehingga ada yang berani mencurinya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Ini berikutan perlombongan bahan berkenaan dipercayai dilakukan secara tidak sah serta menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Satu sumber mendedahkan, siasatan dibuat sebaik sahaja agensi itu menerima aduan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan pada Mac lalu.

Kata sumber itu, terdapat juga aduan penduduk di kawasan Bukit Enggang, Sik yang mana kerja-kerja perlombongan haram dibuat secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

“Dalam pada itu, beberapa orang individu juga telah tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan seorang menteri besar.

“Laporan itu dikatakan hasil daripada satu surat tular berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri yang kononnya bagi projek usahasama antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat daripada negara China,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, kata sumber, UMNO Kedah juga pernah menggesa SPRM menyiasat sama ada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE.

“Difahamkan SPRM Kedah pernah membuka kertas siasatan berhubung isu perlombongan haram REE ini pada awal tahun ini dan dikatakan telah memanggil beberapa orang saksi namun tidak diketahui sejauh mana hasil siasatan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

Kata beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 termasuk kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM Kedah pada Mac lalu.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Menteri Besar terbabit, beliau enggan mengulas lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×