Disiasat polis, Muhammad Fawwaz enggan ulas lanjut - Utusan Malaysia

Disiasat polis, Muhammad Fawwaz enggan ulas lanjut

MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan telah memberikan keterangan kepada pihak polis minggu lalu berhubung kenyataan berunsur perkauman membabitkan beliau.

Bagaimanapun, Muhammad Fawwaz enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan kerana ia masih dalam siasatan pihak polis.

“Saya telah memberi keterangan kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira pukul 3 petang, Jumaat lalu.

”Isu ini juga masih dalam siasatan pihak polis, oleh itu saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Fawwaz menerusi status di laman sosial Facebooknya dilaporkan berkata: “… Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.”

Namun, beliau kemudian memohon maaf dan berkata kenyataan berkenaan ditulis dan dimuat naik oleh pengendali Facebooknya, selain berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana kenyataan itu sudah dipadam.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, siasatan ke atas Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan.

Selain Muhammad Fawwaz, Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut disiasat di bawah Seksyen yang sama berhubung kenyataan berunsur perkauman.

Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang berkata, beliau yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan isu tersebut memandangkan ia cuba dimainkan semula oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan Perikatan Nasional (PN).

”Insya-Allah tidak ada apa-apa, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan PN hanya mahu memainkan isu, yang pasti rakyat tidak akan termakan dengannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.