Hubungan Pas-Bersatu ditentukan hari ini

Hubungan Pas-Bersatu ditentukan hari ini

WAN DZAHANURIN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kedudukan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor dijangka diketahui hari ini menerusi mesyuarat khas yang diadakan di Menara Yayasan Selangor.

Perkara demikian akan dibincangkan susulan wujud pertembungan antara kedua-dua komponen tonggak Perikatan Nasional (PN) itu menyebabkan timbul dakwaan masing-masing membentuk gerakan tersendiri bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, suatu keputusan penting akan disampaikan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

“Antara perkara yang akan dibincang adalah maklumat untuk disampaikan berkenaan kedudukan dan gerak kerja antara Bersatu dengan Bersatu dan Pas dengan Pas. Memang tough decision (keputusan sukar).

“Sejujurnya, kita di Selangor memang tiada masalah dengan Pas kecuali bila ada tiga atau empat orang dalam parti itu yang bermulut ‘lancang’ mengeruhkan hubungan antara kedua-dua parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, Bersatu Selangor turut menyedari dakwaan wujud gerakan Muafakat Nasional (MN) 2.0 khususnya antara Pas dengan UMNO, bagaimanapun sehingga kini Bersatu kekal pendirian untuk bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang diterajui oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PN.

“Namun, akhirnya nanti kita akan akur dengan keputusan di peringkat pusat. Terutama sekali Pas, sudah pasti mereka tidak akan membuat keputusan bersendirian (untuk bersama Bersatu), mereka ‘walak’ dengan pimpinan mereka,” ujarnya.

Sejak PRU Ke-15 (PRU15) Bersatu dan Pas Selangor diberi gambaran mempunyai hubungan dan misi tersendiri yang diberi mandat oleh pimpinan pusat parti masing-masing bagi merampas negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Gerakan yang dilakukan secara bersama di bawah payung PN itu membolehkan gabungan tersebut menafikan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan (PH) apabila mereka memenangi 22 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 2023.

Malah, pada 25 April lalu, Pas Selangor sendiri mengakui masih bersama PN (dan Bersatu) bagi meneruskan misi untuk memastikan kemenangan di Selangor pada PRU akan datang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri berkata, partinya ketika itu menghormati Bersatu dan tidak mahu campur tangan dalam konflik kepemimpinan sehingga berlaku pemecatan yang dihadapi mereka pada waktu tersebut.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan, mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat akan membincangkan kerjasama dengan Bersatu pada Isnin ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat berkenaan bakal memperincikan tindakan lanjut berhubung hasil perbincangan Majlis Syura Ulama parti itu pada hari tersebut.

Sementara itu, satu sumber dalaman Pas Selangor mendedahkan mereka mempunyai kelebihan untuk berkuasa di negeri ini sekiranya membentuk gagasan MN 2.0 bersama UMNO bagi mendepani pilihan raya akan datang.

Katanya, kelebihan tersebut disumbang oleh kemerosotan sokongan sehingga 50 peratus yang dihadapi oleh DAP akibat pelbagai isu melanda Selangor baru-baru ini.

“Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dijangka menyertai Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai). Calon Cina dalam Parti Bersama dan lain-lain akan memecahkan undi DAP di tempat majoriti pengundi Cina.

“Di kerusi campuran yang kebanyakan ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan turut ditentang oleh Parti Bersama yang baru diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli. UMNO dan team Reset (Datuk Seri Hamzah Zainudin) akan ambil alih kerusi Bersatu. PAS tambah beberapa kerusi Melayu,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN