SHAH ALAM: “Diana belum boleh bersemuka dengan Farid”
Itu alasan dikemukakan peguam syarie mewakili pelakon Farid Kamil, Fakhrul Azman Abu Hassan atas ketidakhadiran pelakon, Diana Danielle ke prosiding Sulh yang berlangsung pagi tadi di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Kata Fakhrul, ketiadaan Diana itu telah mengakibatkan proses tersebut tidak dapat disempurnakan dan perlu dilanjutkan pada 25 Mei depan.
“Itu alasan ketidakhadirannya buat masa ini, dia belum boleh bersemuka dengan Farid,” kata Fakhrul usai prosiding berkenaan.
Sulh merupakan suatu proses di mana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah dipanggil dan dipertemukan di dalam suatu majlis perundingan terpimpin secara rasmi, yang diatur oleh mahkamah berdasarkan prosedur tertentu.
Seandainya perdamaian tercapai, ia akan dikeluarkan sebagai suatu perintah mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan biasa.
Diana, pada 10 Mac lalu, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Permohonan itu dibuat atas alasan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama Farid sebagai suami isteri. Farid bagaimanapun enggan melafazkan cerai ke atas Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.