Bot karam: Tiga hari terapung sebelum diselamatkan

Bot karam: Tiga hari terapung sebelum diselamatkan

ANGGOTA TLDM membantu menyelamatkan mangsa bot karam yang ditemukan di perairan Sibutu, Filipina-IHSAN TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Seramai 11 mangsa bot karam terpaksa duduk di atas bot yang terapung selama 72 jam sebelum diselamatkan dari perairan Sibutu, Filipina.

Kesemua mangsa warga tempatan itu berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menggunakan Kapal Diraja PAUS (KD PAUS).

Menceritakan detik cemas itu, salah seorang mangsa, Siti Naun Osman, 25, berkata, dia bersama 10 mangsa lain termasuk tiga kanak-kanak sedang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada 29 Mac lalu.

Walau bagaimanapun, semasa dalam perjalanan, bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak yang kuat.

“Situasi itu menyebabkan kesemua mereka terpaksa berpaut dan duduk di atas bot yang terbalik selama tiga hari bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan Markas Wilayah Laut 2, Sandakan semalam.

Menurut kenyataan itu, bilik operasi Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) menerima maklumat dari Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan Kapal Dagang Tomini Dynasty telah menemukan 11 orang warganegara Malaysia di perairan Sibutu, Filipina.

Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki 11 mangsa telah terbalik akibat cuaca buruk.

Susulan itu, KD PAUS telah diatur gerak memandangkan kapal itu dalam penugasan Operasi Pasir Selatan di sekitar perairan Tanjung Labian, Lahad Datu untuk melaksanakan pertemuan bersama Kapal Dagang Tomini Dynasty di posisi sekitar lapan batu nautika selatan Tanjung Labian bagi mengambil kesemua mangsa yang terlibat.

Kemudian anggota TLDM telah membawa kesemua mangsa menggunakan KD PAUS ke Pulau Tambisan untuk diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu pada Jumaat untuk tindakan selanjutnya.

Selepas itu, KD PAUS meneruskan perjalanan ke Tambatan Pangkalan Sandakan selepas semua urusan berkaitan mangsa selesai.

Dalam pada itu, pihak TLDM mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka dengan keselamatan diri, penumpang dan harta benda semasa berada di laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya