Bersatu mohon 4 kerusi Parlimen dikosongkan

Bersatu mohon 4 kerusi Parlimen dikosongkan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memohon kebenaran bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen.

Permohonan tersebut difailkan oleh parti berkenaan melalui pegawai awam pertubuhan itu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presidennya, Ronald Kiandee selaku pemohon pada 17 April lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Tinggi di sini.

Selain Johari, turut dinamakan sebagai responden kedua hingga kelima ialah empat Ahli Parlimen kawasan terlibat iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang).

Menurut afidavit yang difailkan, pemohon mendakwa telah berlaku kekosongan luar jangka membabitkan Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang.

Kekosongan itu berlaku selepas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah termasuk responden kedua hingga kelima telah keluar daripada parti pada 10 Disember 2022, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri baharu.

Responden kedua hingga kelima bertanding pada PRu15 di bawah logo GRS.

Pada 19 Disember 2022, dalam persidangan Parlimen pertama selepas PRU15, kedudukan responden kedua hingga kelima di bahagian kerajaan jelasnya menunjukkan niat mereka untuk meninggalkan Bersatu.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Bersatu telah mengeluarkan Notis Pemberhentian kepada responden kedua hingga kelima pada 21 Disember 2022.

Dan disebabkan perberhentian itu berlaku selepas PRU15, maka pemohon mendakwa berlaku kekosongan berdasarkan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut peruntukan tersebut, mana-mana ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

Bagaimanapun, Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu menyatakan bahawa responden kedua hingga kelima telah memberikan penjelasan.

Melalui surat sama, Johari mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.

Sehubungan itu, Bersatu dan Kiandee mendakwa tindakan Johari itu adalah tidak sah, tidak mengikut perlembagaan dan penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, Bersatu dan Kiandee memohon agar surat bertarikh 16 Januari lalu dibatalkan dan empat Parlimen terbabit dikosongkan.

Mereka turut memohon agar kekosongan tersebut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada keputusan mahkamah.

Selain itu, Bersatu dan Kiandee memohon agar surat penjelasan responden kedua hingga kelima yang diserahkan kepada Johari diberikan kepada parti berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya