SHAH ALAM: Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) mensasarkan untuk menjadi peneraju dalam mempromosikan gaya hidup sederhana terutamanya menghakis amalan pembaziran di kalangan masyarakat dan warga syarikat berkenaan menerusi kempen Tak Nak Bazir.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rozita Ahmad berkata, kempen tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat di bawah program Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).
Katanya, kempen tersebut sudah pun dimulakan sejak 23 April lalu sempena bulan Ramadan bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup bersederhana serta menghindari pembaziran.
“Kita memilih untuk memulakan kempen ini di bulan Ramadan kerana pada bulan ini kita dapati banyak berlaku pembaziran terutamanya makanan dalam kuantiti yang banyak dan ia merugikan.
“Jadi menerusi kempen ini, Bernas berharap dapat mendidik masyarakat dan warga kerja kami untuk mengamalkan kesederhanaan dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak,” katanya ketika ditemui pada program kempen itu di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini, petang tadi.
Kempen Tak Nak Bazir Bernas itu dijalankan dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. yang turut disifatkan membawa inspirasi sama dengan syarikat berkenaan.
Rozita berkata, kempen tersebut akan diteruskan secara berperingkat bermula di Lembah Klang hingga ke semua Kilang Beras Bernas (KBB) seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan program ESG, Bernas sudah melaksanakan tiga kempen iaitu membabitkan alam sekitar, tatakelola baik (good governance) dan dan kempen Tak Nak Bazir di bawah segmen sosial.
Sementara itu, jurutera, Farah Farzana Zulhamri, 26, berkata, kempen Tak Nak Bazir yang dijalankan Bernas adalah relevan dengan masalah yang kerap kali timbul terutamanya di bulan Ramadan dan musim perayaan.
“Saya sendiri kalau boleh cuba mengelakkan diri daripada membazir sebagai contoh di musim perayaan yang akan disambut tidak lama lagi hanya berbelanja mengikut keperluan saja.
“Justeru, saya mengamalkan membeli barangan secara bulanan bukannya membeli sekali gus supaya dapat mengetahui sama ada ia keperluan atau sekadar kehendak,” katanya. – UTUSAN










