Bekalan air beberapa kawasan di Manjung mulai pulih - Utusan Malaysia

Bekalan air beberapa kawasan di Manjung mulai pulih

PENDUDUK mengambil bekalan air bersih yang disalurkan oleh pasukan bomba di pekarangan premis pasukan itu di Seri Manjung semalam. - UTUSAN/JPBM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Bekalan air bersih kembali pulih di beberapa kawasan di daerah Manjung secara berperingkat mulai pagi ini, selepas dua hari mengalami masalah gangguan bekalan utiliti tersebut.

Gangguan bekalan berlaku apabila paip yang menyalurkan bekalan air ke daerah itu dan daerah Perak Tengah, terputus akibat kejadian pergerakan tanah di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota, kelmarin.

Jurutera Kerja Kanan Operasi Lembaga Air Perak (LAP), Ahmad Termizi Mohd berkata, bekalan tersebut kembali pulih selepas LRA Teluk Kepayang sudah boleh beroperasi pada kadar 30 peratus hari ini.

Menurut beliau, bekalan air disalurkan dahulu ke kolam takungan Seri Manjung yang mempunyai bilangan akaun besar dan mengagihkan air ke kawasan berhampiran seperti Lumut dan Pulau Pangkor.

“Jadi, ada beberapa kawasan di Manjung yang sudah dapat bekalan air walaupun sedikit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kerja-kerja membaiki paip yang rosak dan terputus sedang dilakukan dengan LAP akan terus menghantar lori tangki bekalan air ke kawasan terjejas sehingga situasi itu pulih sepenuhnya.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 79,360 akaun bekalan air di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air sejak tengah hari kelmarin selepas paip bagi menyalurkan air tersebut terputus.

Ia melibatkan keseluruhan kawasan Pulau Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar, Lekir dan Kayan di daerah Manjung serta Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis di daerah Perak Tengah.

Menurut kenyataan LAP itu, LRA Teluk Kepayang telah menghentikan penyaluran air sejak 12.40 tengah hari kelmarin dan dijangka hanya akan pulih pada Isnin ini secara berperingkat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya