Bebaskan kanak-kanak daripada nikotin vape - Utusan Malaysia

Bebaskan kanak-kanak daripada nikotin vape

CAP menggesa orang ramai menyelamatkan kanak-kanak daripada bahaya nikotin terutama yang disebabkan oleh pengguna vape atau peranti e-rokok yang kini semakin meluas dan menjadi trend dalam kalangan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai membebaskan kanak-kanak daripada nikotin dan sesiapa juga yang menggunakan vape kerana adalah tidak selamat untuk menggunakan vape atau peranti e-rokok di sekeliling kanak-kanak.

Menurut Pegawai Pendidikan CAP, S.V. Subbarow, penggunaan e-rokok bukan sahaja tidak selamat kepada kanak-kanak, malah kepada remaja dan belia kerana kebanyakan peranti itu mengandungi nikotin.

Jelasnya, nikotin membawa kepada ketagihan serta boleh membahayakan perkembangan otak remaja yang berterusan dari peringkat awal sehingga pertengahan 20-an.

“Peranti e-rokok juga boleh mengandungi bahan berbahaya lain selain daripada nikotin dan golongan kanak-kanak serta remaja terdedah untuk menjadi ketagih.

“Terdapat bukti kanak-kanak menyukai perisa seperti gula-gula getah dan buah-buahan selain suka mencuba perisa yang baharu yang terdapat di dalam vape.

“Bagi kebanyakan orang muda, sebab utama mereka menghisap vape atau menggunakan e-rokok adalah kerana mereka menyukai perisanya yang mengadungi nikotin itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Subbarow, majoriti ibu bapa kini juga dikesan menggunakan e-rokok di dalam rumah atau di dalam kereta dan trend itu amat membimbangkan.

Jelasnya, walaupun lebih banyak kajian mungkin diperlukan, namun nikotin boleh membahayakan otak remaja yang sedang berkembang sehinggalah pada usia kira-kira 25 tahun.

“Menggunakan nikotin pada masa remaja juga boleh membahayakan bahagian otak yang mengawal perhatian, pembelajaran, mood dan kawalan impuls.

“Selain itu, pengambilan nikotin pada masa remaja juga boleh meningkatkan risiko ketagihan pada masa hadapan terhadap ubat-ubatan lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya