Guru tak mengaku salah amang seksual enam pelajar

Guru tak mengaku salah amang seksual enam pelajar

Amang seksual enam pelajar
IDI Johan Mohd. Zohdi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap enam pelajar perempuan, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan dekat sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.

Tertuduh, Idi Johan Mohd. Zohdi, 45, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam pelajar perempuannya yang berusia 15 tahun bagi maksud seksual masing-masing di dalam bilik kelas dan stor sekolah, sebuah rumah dan kereta di sekitar Sabak Bernam, antara Januari 2025 hingga Februari lalu.

Justeru, dia yang mengajar subjek muzik didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. Mengikut Seksyen 16 (1) akta sama, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar kemudian menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Namun, peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin memohon pengurangan kerana tertuduh mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah dan tiada rekod jenayah.

“Anak guam saya yang berkhidmat sebagai guru sejak 2002 mempunyai anak perempuan yang bersekolah di tingkatan lima dan tiada sumber pendapatan lain. Selain tiada rekod jenayah lampau, dia juga tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau disiplin oleh sekolah,” katanya.

Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar kemudian membenarkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dikemukakan termasuk serahan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 30 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN