‘Diamkan anak dengan gajet’ punca rabun kanak-kanak meningkat

‘Diamkan anak dengan gajet’ punca rabun kanak-kanak meningkat

DR. SAFINAZ MOHD KHIALDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tabiat segelintir ibu bapa dan penjaga menjadikan gajet sebagai ‘penenang’ anak dikenal pasti antara punca peningkatan kes rabun jauh atau miopia dalam kalangan kanak-kanak di negara ini sehingga dikesan seawal usia tiga tahun.

Pakar Perunding Mata Ka­nak-kanak, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Safinaz Mohd. Khialdin berkata, pendedahan terlalu awal kepada gajet sejak usia satu tahun menyebabkan mata kanak-kanak terlalu lama bekerja pada jarak dekat, sekali gus meningkatkan risiko pemanjangan bola mata yang membawa kepada rabun jauh.

Katanya, sebelum ini rabun jauh lebih banyak dikesan dalam kalangan murid sekolah rendah sekitar usia enam tahun, namun selepas pandemik Covid-19, trend itu mula dilihat berlaku dalam kalangan kanak-kanak prasekolah berusia tiga hingga empat tahun.

“Klinik Mata Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muh­riz UKM secara purata memberi preskripsi cermin mata kepada kira-kira 30 kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun setiap minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Safinaz, jualan cermin mata kanak-kanak di sesetengah kedai optik pula dianggarkan sekitar 10 hingga 20 pasang sebulan, bergantung kepada premis dan permintaan pelanggan.

Miopia atau rabun jauh ialah ketidakupayaan mata untuk memfokuskan objek jauh dengan jelas akibat pemanjangan paksi bola mata atau kelengkungan kornea berlebihan.

“Kajian sistematik oleh Eudocia Shu Yi Tan, Puneet Agarwal dan Cheong Lieng Teng yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medical Sciences pada 2026 mendedahkan kadar rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 0 hingga 18 tahun di Malaysia dianggarkan 17.18 peratus atau kira-kira 2,296 daripada 13,367 responden yang dianalisis bagi tempoh 1990 hingga 2024.

“Kajian itu turut menganggarkan prevalens rabun jauh sebanyak 2.54 peratus bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 6 tahun, 26.48 peratus bagi umur 7 hingga 12 tahun dan 42.71 peratus bagi remaja berusia 13 hingga 18 tahun,” katanya.

Secara kasar, kadar itu bersamaan kira-kira 340 kanak-kanak bagi kumpulan 0 hingga 6 tahun, 3,540 kanak-kanak bagi umur 7 hingga 12 tahun dan 5,709 remaja bagi kumpulan 13 hingga 18 tahun jika diterjemah berdasarkan jumlah keseluruhan 13,367 responden.

Safinaz berkata, gajet bukan satu-satunya punca rabun jauh, namun risiko meningkat apabila kanak-kanak terlalu lama melakukan aktiviti jarak dekat termasuk melihat telefon bimbit, tablet atau televisyen tanpa rehat.

“Pemakaian cermin mata hanya membantu memperjelas penglihatan kabur, namun tidak mencukupi untuk mengawal peningkatan tahap rabun jauh dari semasa ke semasa.

“Intervensi seperti ubat titis mata khas, cermin mata khas, pemeriksaan awal mata, pengurangan penggunaan gajet dan penambahan aktiviti luar perlu diberi perhatian bagi mengelakkan komplikasi termasuk koyak dan lekang lapisan sensitif mata, glaukoma serta katarak,” katanya.

Sementara itu, Pakar Oftalmologi, Dr. Mohamed Asri Halili berkata, gaya hidup kanak-kanak yang kurang melakukan aktiviti luar rumah dan kurang terdedah kepada cahaya matahari turut mendorong peningkatan rabun jauh.

Mohamed Asri berkata, pen­dedahan kepada cahaya matahari membantu mengawal pemanjangan bola mata semasa tumbesaran, sekali gus mengurangkan risiko rabun jauh menjadi lebih teruk.

“Kanak-kanak sepatutnya di­dedahkan kepada cahaya matahari dan aktiviti luar sekurang-kurangnya dua jam sehari bagi membantu perkembangan mata dan tubuh berfungsi dengan lebih optimum.

“Langkah itu perlu digerakkan bersama kawalan penggunaan gajet di rumah supaya kanak-kanak tidak terlalu lama berada dalam aktiviti jarak dekat tanpa rehat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN