GUA MUSANG: Seorang pesara kerajaan tidak menang tangan menghasilkan acar ikan kering bagi memenuhi permintaan para pelanggan di bulan Ramadan ini termasuk yang berada di Lembah Kelang.
Tengku Hayati Akmal Tengku Hitam 65, atau Mokku Yati berkata, setiap kali Ramadan dia akan menerima tempahan lebih 500 bekas untuk dijadikan sebagai hidangan pembuka selera terutamanya ketika waktu sahur.
“Acar ikan kering ini mempunyai gabungan rasa masam, manis, masin dan pedas ditambah pula dengan bawang jeruk yang rangup.
“Rasa itu membuatkan acar ikan kering tidak mudah muak dan akan menambahkan lagi selera makan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mokku Yati memberitahu, bahan utama yang digunakan adalah ikan kering jenis cencaru, cuka, cili dan lada, halia dan bawang merah halus yang merupakan bahan paling penting di dalam menu ini.
Katanya, bagaimanapun dia mengalami kesukaran untuk menghasilkan acar ini dalam kuantiti banyak kerana bawang merah halus dari Thailand sukar didapati semenjak tiga tahun lalu.
“Pendapatan yang diperolehi bergantung kepada bilangan tempahan yang diterima malah tempahan menjadi lebih tinggi ketika musim kenduri dan bulan Ramadan.
“Pendapatan yang saya perolehi dalam sebulan tidak lebih dari RM1,500 memandangkan penghasilan acar ini dapat dibuat mengikut bekalan bawang merah halus dari Thailand,” ujarnya.
Mokku Yati berkata, selain pasaran Lembah Kelang, dia mempunyai pelanggan setia dari Terengganu Melaka dan Singapura.
Katanya, seorang pelanggan dari Kota Singa itu sanggup membayar kos penghantaran yang mahal untuk acar ikan kering air tangannya untuk dijadikan stok makanannya.
“Selain itu, kenangan yang tidak dapat saya lupakan apabila acar ikan kering air tangan saya dibeli oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid ketika Majlis Khatam Al-Quran Perdana pada 20 Mac lalu.
“Saya berasa sangat gembira dan itu antara saat paling manis sejak saya berkecimpung dalam bidang masakan ini sejak lebih enam tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN










