11 kluster Covid-19 sektor pendidikan masih terkawal - Fadhlina - Utusan Malaysia

11 kluster Covid-19 sektor pendidikan masih terkawal – Fadhlina

Kluster pendidikan
FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kluster Covid-19 melibatkan 11 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) masih dalam keadaan terkawal setakat ini.

Bagaimanapun, kementerian itu menyediakan pelan intervensi termasuk bilik isolasi dan peringatan kepada guru dan pelajar mengenai peningkatan kes wabak itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memantau rapat perkara itu dengan nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita akan mewajibkan saringan sekiranya ada keperluan dan ia bergantung atas nasihat KKM dari semasa ke semasa.

“Keadaan (kluster pendidikan) bagaimanapun setakat ini masih terkawal dan belum ada isu besar mengenainya,” katanya selepas program Jerayawara Pendidikan Madani, hari ini.

Selasa lalu, KKM menyarankan sektor pendidikan melakukan saringan susulan 11 daripada 18 kluster Covid-19 yang dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh 2023 adalah kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan enam kluster itu melibatkan institusi pendidikan KPM iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah sementara lima lagi melibatkan maktab dan satu taska.

Peningkatan kes itu berlaku susulan pembukaan semula sesi persekolahan pertengahan Mac lalu selain pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah sebelum ini.

Jelas Fadhlina, kementerian belum membuat sebarang penetapan untuk mewajibkan saringan berkenaan, sementara ibu bapa dinasihatkan turut memantau pergerakan anak mereka terutama ketika musim perayaan Aidilfitri kelak.

“Wabak Covid-19 ini sudah lama dan semua pihak mengetahui faktor jangkitan dan langkah mencegahnya. Justeru, semua pihak terutama ibu bapa pelajar perlu memastikan anak yang bergejala atau tidak sihat supaya membuat saringan sebelum hadir ke sekolah,” jelasnya.Dalam pada itu, beliau berkata, Jerayawara Pendidikan Madani memberi ruang komprehensif kepada murid menyedari dan meneroka peluang pendidikan saksama ditawarkan kerajaan.

“Program berkonsepkan turun padang  itu bagi mendapatkan maklum balas daripada guru, pegawai pendidikan dan komuniti mengenai manfaat atau isu pendidikan. Inisiatif itu juga merupakan kesinambungan dalam merealisasikan tujuh teras utama KPM dalam menerajui sistem pendidikan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.