Tarikan pelancong Festival Sawah Padi Sekinchan 2026

Tarikan pelancong Festival Sawah Padi Sekinchan 2026

Sekinchan
AMIRUDIN Shari dan Ng Suee Lim bergambar bersama pengunjung Festival Sawah Padi Sekinchan dekat Terminal Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Festival Sawah Padi Sekinchan 2026, di sini dijangka mampu menarik sehingga 15,000 pelancong tempatan dan antarabangsa yang berpeluang menyertai pelbagai aktiviti tempatan termasuk kebudayaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebahagian daripada langkah strategik bagi memperkukuh sektor pelancongan agro di negeri ini khususnya di Sekinchan sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi di Selangor.

“Selangor komited memastikan ketahanan ekonomi dengan menggalakkan pelancongan domestik. Melangkah ke hadapan, menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS2), negeri ini akan terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur, mobiliti kesejahteraan rakyat melalui pendekatan yang inklusif dan mampan,” katanya, semalam.

Program yang berlangsung selama dua hari sejak semalam itu turut memberi peluang kepada pelancong menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam dalam suasana latar belakang hijau sawah padi.

Malah, penganjuran kali kedua oleh Tourism Selangor sejak diperkenalkan pada tahun lalu itu akan memperkenalkan konsep penganjuran dari petang hingga ke malam yang lebih imersif dengan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai.

Antaranya adalah aktiviti Larian Sawah Padi yang menarik lebih 1,000 penyertaan dari pelbagai tempat yang juga boleh mengunjungi lebih 35 vendor di bawah Platform Selangor (PLATS) yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan.

Sementara itu, Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim memberitahu festival itu menjadi sebahagian program dalam Zon Kembara Sabda (Wilayah Pembangunan Sabak Bernam).

“Kita mahu Selangor bukan sahaja dikenali sebagai negeri pesat membangun dengan bandar-bandar moden, tetapi juga sebagai negeri yang kaya dengan warisan, desa, keindahan alam semula jadi dan pengalaman autentik yang dekat dengan hati pengunjung.

“Festival ini berlangsung sehingga esok (hari ini). Jadi, jangan lepaskan peluang untuk membawa keluarga dan rakan-rakan bagi bersama-sama menikmati keunikan Festival Sawah Padi Sekinchan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN