PETALING JAYA: Tokoh dan pemimpin yang kecundang pada Pemilihan UMNO 2023 sama ada dalam pemilihan pergerakan sayap atau jawatankuasa pusat parti itu tetap mempunyai peranan sendiri dalam memperkasakan UMNO.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, ini kerana mereka boleh memainkan peranan masing-masing sama ada di peringkat negeri atau bahagian.
“Soal dilantik apa-apa jawatan soal kedua kerana ia mungkin bidang kuasa presiden.
Dalam keadaan begini, kita tidak boleh melihat yang kalah akan meninggalkan parti atau kalah tidak diberi peranan.
“Contohnya jawatan Naib Presiden ada tiga dan ditandingi tujuh, sudah pasti akan ada calon yang kalah,” katanya ketika dihubungi.
Namun katanya, yang kalah masih boleh meneruskan peranan dalam memperkasakan parti.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tokoh, pemimpin dan individu berpengalaman yang kalah dalam pemilihan parti itu boleh dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) parti atau memegang jawatankuasa lantikan di peringkat pusat.
Mengulas lanjut, Othman yang juga calon Timbalan Pengerusi Tetap berkata, kalah dalam pemilihan juga tidak perlu dilihat secara negatif.
“Kalah menang bukan salah Presiden, mereka yang kalah mesti ambil positif sebab kita mahu memperkasakan UMNO.
“Cerita-cerita negatif ini cukuplah, kita tutup buku. Sekarang kita fokus proses peremajaan dan memperkasa parti,” katanya. – UTUSAN










