Tokoh agama, ulama patut diberi pengecualian tauliah mengajar

Tokoh agama, ulama patut diberi pengecualian tauliah mengajar

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tokoh agama atau ulama yang dikenali dengan kealimannya perlu diberi pengecualian tauliah mengajar oleh pihak berkuasa agama sama ada di Wilayah Persekutuan atau negeri.

Itu antara syor dan cadangan diberikan ilmuan agama yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkait isu tauliah agama yang tular ketika ini.

Zulkifli berkata, tauliah khas itu perlu kerana sesuai kealiman serta kedudukan tokoh itu dalam sesebuah negara atau institusi oleh raja selaku Ketua Agama Islam atau mufti negeri berkenaan, apatah lagi di luar negara.

“Itulah adab yang sebaiknya kerana boleh jadi individu yang perlu ditemuduga untuk tauliah itu sendiri lebih alim daripada penemuduga tauliah,” katanya menerusi artikel terbaharu dikeluarkan menerusi portalnya, Maktabah Al-Bakri, hari ini.

Katanya, beliau juga mencadangkan agar tauliah khas turut diberikan kepada tokoh politik yang memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri dengan syarat tiada isu politik kepartian disentuh.

Zulkifli berkata, ‘politik kepartian’ yang dimaksudkan adalah yang menyentuh mana-mana parti secara khusus, atau mana-mana individu dalam parti secara khusus, atau apa-apa perkataan yang dikira perlambangan mana-mana parti.

Selain itu, katanya, tauliah khas juga boleh diberikan kepada individu yang sudah dikenali akan keilmuannya dan diperkenankan oleh raja selaku Ketua Agama Islam atau diluluskan oleh mufti negeri berkenaan, ulama setempat dan masyarakat tanpa ada sebarang keraguan.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, beliau juga mencadangkan supaya subjek pengajaran seperti al-Siyasah al-Syar’iyyah perlu dikekalkan untuk diajar di masjid dan surau oleh pemegang tauliah mengajar yang berkelayakan.

“Ia penting bagi membentuk pemahaman jemaah yang menyeluruh berkenaan sistem tadbir urus Islam dalam hal kenegaraan,” katanya.

Katanya, beliau juga mengesyorkan supaya pemantauan berkala turut dibuat bagi memastikan apa yang disampaikan oleh pemegang Tauliah Mengajar selari dengan undang-undang dikuatkuasakan, terutama dari sudut kualiti ilmu yang disampaikan.

Jelasnya lagi, pemantauan itu penting bagi memastikan masjid dan surau tidak menjadi medan untuk memecah-belahkan ummah, pentas jenaka (walaupun tidak menjadi kesalahan untuk sesekali bergurau), atau sekadar periwayatan kisah-kisah tanpa sandaran.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga melihat ada ruang untuk standard ujian permohonan Tauliah Mengajar diselaraskan di seluruh negara agar kualiti ilmu pemegang Tauliah Mengajar di seluruh negara boleh disetarakan atau hampir kepada kesetaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya