Tiga muka baharu ketuai tiga bahagian UMNO Perlis

Tiga muka baharu ketuai tiga bahagian UMNO Perlis

FATHUL Bari Mat Jahya (tujuh dari kanan) yang berjaya menewaskan Azlan Man bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar bersama sebahagian jawatankuasa dan pemimpin sayap parti itu di Dewan Warisan, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Kesemua tiga bahagian UMNO di negeri ini mendapat ketua baharu dengan Kangar paling mencuri tumpuan selepas Datuk Fathul Bari Mat Jahya menewaskan penyandang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man.

Fathul Bari memperoleh sebanyak 368 undi meninggalkan bekas Menteri Besar itu yang mendapat 179 undi.

Di Arau, dominasi hampir 30 tahun Datuk Seri Shahidan Kassim berakhir apabila bahagian tersebut mendapat ketua baharu setelah Datuk Rozabil Abd. Rahman menang tanpa bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu.

Shahidan dipecat daripada UMNO tahun lalu selepas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, Padang Besar turut menampilkan muka baharu mengetuai UMNO bahagian berkenan selepas Ruzaini Rais yang memperoleh 562 undi menewaskan Khairul Akhbar Ahmad Zabidi yang mendapat hanya 134 undi dalam saingan dua penjuru.

Sebelum ini, Padang Besar didominasi oleh seorang lagi ‘otai’ politik, Datuk Zahidi Zainul Abidin namun dipecat oleh UMNO selepas bertanding atas tiket Bebas pada PRU15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fathul Bari berkata, kemenangan tersebut bukannya satu kegembiraan memandangkan terdapat tanggungjawab yang lebih besar perlu digalas bagi mengembalikan semula kekuatan UMNO Bahagian Kangar selepas ini.

“Saya tahu kekalahan lepas dalam PRU15 merupakan satu tamparan yang hebat dan besar buat pemimpin UMNO seluruh negeri.

“Namun bagi saya, ini juga satu muhasabah. Kita kena kembali dengan solusi, pada saya kepemimpinan satu tangunggjawab.

“Saya akan laksanakan tanggungjawab ini secara serius dengan memfokuskan bagi memperkasa dan merevolusikan kembali UMNO buat rakyat Kangar serta Perlis,” katanya.

Rozabil pula berkata, beliau percaya kebangkitan UMNO Perlis bermula selepas kalah semua kerusi dalam PRU15.

“Barisan kepemimpinan baharu di bahagian Arau ini bakal membawa perubahan besar bukan sahaja di bahagian malah di peringkat negeri untuk parti kembali bangkit selepas ini dalam keadaan lebih kuat.

“Kebangkitan UMNO bermula kembali dan kita sebenarnya masih ada sinar di hujung terowong. Rakyat masih sayang kepada UMNO dan kekalahan dalam PRU15 adalah satu gelombang bukan atas faktor individu tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN