Tidak timbul isu Warisan berdepan krisis sokongan

Tidak timbul isu Warisan berdepan krisis sokongan

TERRENCE SIAMBUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Terrence Siambun menepis dakwaan pihak tertentu yang menyatakan Warisan berhadapan krisis sokongan.

Beliau berkata, keputusan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan melompat parti tiada kaitan dengan sokongan terhadap Warisan sebaliknya, ia merupakan tindakan pengkhianatan kepada mandat rakyat.

“Pada dasarnya, lompat parti adalah perbuatan yang mengkhianati mandat rakyat yang mengundi ADUN berkenaan atas tiket parti yang diwakili pada pilihan raya lalu.

“Maka, tindakan ADUN yang melompat itu seolah-olah memperlekehkan kepercayaan dan harapan pengundi terhadap mereka.

“Lebih-lebih lagi apabila ADUN berkenaan melompat menyertai parti yang ditolak oleh pengundi dan penyokong mereka pada pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terrence mendakwa ADUN yang melompat itu hanya ingin mengejar jawatan dan wang demi kepentingan peribadi. Ia langsung tidak berkaitan dengan krisis sokongan terhadap Warisan.
Menurut beliau, kerajaan yang berintegriti sepatutnya melaksanakan Akta Anti-Lompat Parti dengan segera dan bukannya mengharapkan lebih ramai ADUN dari parti lain untuk melompat ke Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

“Di mana sebenarnya keikhlasan Gagasan Rakyat untuk membawa Sabah ke arah Sabah Maju Jaya seperti slogan yang dilaung-laungkan. Adakah kumpulan yang melompat beberapa kali dan mengkhianati kepercayaan rakyat ini perlu terus disokong.

“Datuk Seri Hajiji Noor yang pernah mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah telah meninggalkan parti itu sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada November tahun lalu.

“Kumpulan itu kemudian menubuhkan pula Gagasan Rakyat yang mempunyai beberapa wakil rakyat yang telah menang atas tiket Bersatu,” katanya.

Semalam Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Rubin Balang menyatakan Warisan dilihat semakin terdesak hingga membuat tuduhan jahat dan tidak berasas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gagasan Rakyat yang dipimpin oleh Hajiji Noor.

Rubin berkata, mendakwa GRS dan Gagasan Rakyat akan menjadi parti pertama meninggalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya politik negara bergolak sekali lagi merupakan satu tuduhan yang berniat jahat.

Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, seramai 11 ADUN Warisan telah keluar dari parti berkenaan bagi menyertai parti lain sehingga menyebabkan parti itu kini hanya mempunyai 14 kerusi DUN.-utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya