KANGAR: Polemik Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bakal dijatuhkan menerusi undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dinoktahkan apabila Pas mengesahkan enam wakil rakyatnya tidak akan bertindak mengemukakan usul berkenaan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, dakwaan bakal berlaku undi tidak percaya tidak berasas sama sekali dan jika enam wakil rakyat berkenaan mengambil tindakan yang boleh bertentangan dengan pendirian Pas Pusat itu, mereka akan dikenakan tindakan tegas.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cukup baik dan parti itu kekal kekal menyokong kepemimpinan Abu Bakar sebagai Menteri Besar atas nama PN sehingga habis penggal.
“Tidak ada sama sekali pakatan untuk menjatuhkan Menteri Besar, semua dakwaan (undi tidak percaya terhadap Menteri Besar) adalah tidak benar. Selepas krisis sebelum ini, Pas Pusat telah membuat ketetapan menyokong kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar dari Bersatu atas nama PN sehingga habis penggal.
“Bagaimana wakil rakyat Pas nak buat undi tidak percaya apabila Pas Pusat sendiri sudah buat keputusan menyokong pentadbiran Menteri Besar sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan pendirian itu masih kekal sehingga kini.
“Jika buat (usul undi tidak percaya), mereka sudah pasti akan diambil tindakan oleh Pas pusat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis disebabkan beliau takut dijatuhkan.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu menekankan bahawa keputusan menangguhkan sidang tersebut bukan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Besar sebaliknya dibuat berdasarkan nasihat pihak tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Kata Abu Bakar, tarikh baharu sidang DUN akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sambil memberi jaminan bahawa ia tetap mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.
Sebelum itu, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan oleh mereka tidak pernah berlaku sebelum ini.
Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar supaya tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN.
Sementara itu, Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berkata, tindakan enam ADUN Pas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar berkait penangguhan sidang DUN itu adalah atas kapasiti sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak lihat sepenuhnya kenyataan enam wakil rakyat tersebut, tetapi kenyataan mereka menuntut penjelasan adalah sebagai wakil rakyat yang bertanya, bukan bagi pihak Pas.
“Pas menerima tindakan mereka yang ingin penjelasan dan ia bukan bertujuan untuk menimbulkan ketidakharmonian di dalam kerajaan PN. Saya juga percaya Menteri Besar tangguh sidang DUN bukan disebabkan takut dengan undi tidak percaya.
“Penangguhan ini mengikut undang-undang dan peraturan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungan Pas dan Bersatu, Shahidan berkata, kerjasama dua parti itu di Perlis antara yang terbaik.-UTUSAN.










