GENEVA: Lebih AS$71.4 bilion (RM282.55 bilion) diperlukan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza yang musnah akibat peperangan, menurut penilaian bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan minggu ini.
Dalam laporan akhir Penilaian Pantas Kerosakan dan Keperluan Gaza (RDNA) yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia, PBB dan EU menyatakan lebih dua tahun konflik di wilayah Palestin itu telah menyebabkan kehilangan nyawa yang belum pernah berlaku sebelum ini serta krisis kemanusiaan amat serius.
Penilaian itu mendapati AS$26.3 bilion (RM104.06 bilion) diperlukan dalam tempoh 18 bulan pertama untuk memulihkan perkhidmatan asas, membina semula infrastruktur kritikal dan menyokong pemulihan ekonomi.
“Kerosakan fizikal infrastruktur dianggarkan mencecah AS$35.2 bilion (RM139.27 bilion), manakala kerugian ekonomi dan sosial berjumlah AS$22.7 bilion (RM89.81 bilion),” menurut kenyataan bersama tersebut.
Gaza kini berada di bawah gencatan senjata yang rapuh yang dipersetujui Oktober tahun lalu, selepas dua tahun perang yang tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Kempen ketenteraan balas Israel mengorbankan lebih 72,000 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah yang ditadbir Hamas, yang angkanya dianggap boleh dipercayai oleh PBB.
Menurut laporan RDNA, kira-kira 371,888 unit rumah musnah atau rosak, lebih 50 peratus hospital tidak lagi berfungsi dan hampir semua sekolah mengalami kerosakan atau kemusnahan.
Pada masa sama, hampir keseluruhan populasi Gaza seramai 1.9 juta penduduk dipindahkan, kebanyakannya berulang kali dan lebih 60 peratus kehilangan tempat tinggal. Ekonomi Gaza pula merosot sebanyak 84 peratus, menurut laporan itu.
“Skala dan tahap kemerosotan dalam keadaan kehidupan, sumber pendapatan, keselamatan makanan, kesaksamaan gender dan keterangkuman sosial telah mengundurkan pembangunan manusia di Semenanjung Gaza selama 77 tahun,” menurut penilaian tersebut.
PBB dan EU menegaskan berdasarkan skala keperluan amat besar, usaha pemulihan mesti berjalan seiring dengan bantuan kemanusiaan bagi memastikan peralihan daripada bantuan kecemasan kepada pembinaan semula secara besar-besaran.
Mereka turut menekankan proses pemulihan dan pembinaan semula perlu diterajui oleh rakyat Palestin serta menyokong peralihan pentadbiran kepada Pihak Berkuasa Palestin selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB 2803.
Resolusi itu, yang diluluskan November tahun lalu, menyambut penubuhan Lembaga Keamanan hail cadangan Presiden Amerika Syarikat bagi menyokong pembinaan semula Gaza.
PBB dan EU turut menekankan beberapa syarat penting perlu dipenuhi bagi memastikan pelaksanaan resolusi tersebut berkesan di lapangan.
Antaranya termasuk gencatan senjata yang berterusan dan keselamatan mencukupi, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pemulihan segera perkhidmatan asas, selain kebebasan pergerakan manusia, barangan serta bahan pembinaan antara Gaza dengan Tebing Barat.
Tanpa syarat-syarat ini, mereka memberi amaran, usaha pemulihan dan pembinaan semula tidak akan berjaya.-AFP










