Lebih 1,000 unit apartmen di Tel Aviv tidak boleh didiami kerana perang Iran - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 unit apartmen di Tel Aviv tidak boleh didiami kerana perang Iran

PENDUDUK berlindung di parkir bawah tanah yang menjadi pusat perlindungan perang Iran pada 7 April lalu di Tel Aviv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Lebih 1,000 unit apartmen di Tel Aviv kini tidak lagi boleh didiami akibat perang terbaru dengan Iran, kata datuk bandar bandar itu pada Sabtu.

Saluran televisyen Israel Channel 12 memetik Ron Huldai sebagai berkata bahawa lebih 1,000 apartmen di Tel Aviv tidak lagi sesuai untuk didiami disebabkan kerosakan akibat serangan peluru berpandu dan dron Iran.

Semasa perang AS-Israel dengan Iran yang bermula pada 28 Februari, Teheran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron berulang kali ke atas bandar-bandar utama Israel sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran ke atas wilayah Iran.

Sebahagian peluru berpandu serta serpihan daripada usaha pemintasan telah mengenai bangunan di Tel Aviv, Ramat Gan dan Bnei Brak. Perang itu mengorbankan dan mencederakan puluhan orang, serta menyebabkan kerosakan besar kepada rumah, kenderaan termasuk infrastruktur.

Stesen Channel televisyen 12 melaporkan bahawa pegawai Israel menganggarkan kos 40 hari perang dengan Iran dan Lubnan mencecah sekitar AS$17.5 bilion (RM69 bilion) .

Angka itu tidak termasuk kos pembinaan semula atau kerugian akibat penutupan sebahagian ekonomi Israel sepanjang tempoh konflik.

Menurut media Israel, hampir 30,000 penduduk Israel telah memfailkan tuntutan kepada dana pampasan Pihak Berkuasa Cukai Israel bagi kerosakan harta benda secara langsung.

Ia termasuk 18,408 tuntutan berkaitan bangunan, 2,594 untuk peralatan dan 6,617 lagi berkaitan kenderaan.

Laman ekonomi Israel, Calcalist, melaporkan minggu lalu bahawa perang selama 12 hari menentang Iran pada Jun lalu menelan kos kira-kira AS$1 bilion (RM3.95 bilion) dalam pampasan kepada perniagaan.

Kementerian Kewangan menganggarkan kos pampasan bagi perang yang berlangsung antara 28 Februari hingga 8 April akan mencecah AS$2.17 bilion (RM8.6 bilion).

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April selepas rundingan antara AS dan Iran di ibu negara Pakistan gagal menghasilkan perjanjian muktamad untuk menamatkan perang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN